fbpx
Now Reading
Ada Peniaga Di Melaka Naikkan Harga Ayam Sebanyak RM0.70

Ada Peniaga Di Melaka Naikkan Harga Ayam Sebanyak RM0.70

Hasil tinjauan di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah mendapati terdapat peniaga yang menjual harga ayam lebih tinggi daripada harga siling yang ditetapkan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum mengetahui semasa pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober yang lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan akan mempertimbang pelaksanaan harga apungan ayam dan telur.

Langkah tersebut diambil setelah kerajaan mendapati bekalan kedua-dua sumber makanan itu berada dalam keadaan stabil.

Malah, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata langkah itu bagi memastikan manfaat subsidi dapat dinikmati oleh golongan yang sepatutnya berbanding sebelum ini turut dinikmati oleh golongan yang kaya-raya dan warga asing.

Harga Ayam Dikesan Alami Kenaikan Di Melaka

Namun, susulan daripada pengumuman apungan harga telur dan ayam semasa pembentangan Belanjawan 2024 yang lalu, harga ayam di negeri Melaka dikesan mengalami kenaikan sebanyak 70 sen walaupun harga siling kekal pada kadar RM9.40.

Memetik Harian Metro, hasil tinjauan di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Jalan Tun Fatimah, Bachang mendapati rata-rata peniaga menjual ayam dengan harga yang lebih tinggi berbanding harga siling yang ditetapkan.

Menurut seorang peniaga yang dikenali sebagai Shakir Samad, dia terpaksa menjual harga makanan mentah itu pada kadar RM10.10 sekilogram bagi menampung kos kenaikan harga pembekal dari RM8.90 kepada RM9.40 sekilogram.

“Sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim umum untuk apungkan harga ayam tidak lama lagi, harga daripada pembekal terus naik 70 sen.

“Setakat ini harga ini masih lagi boleh diterima pelanggan, namun rata-rata kami peniaga cuba mengawal supaya tidak lebih RM10.40 sekilogram,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.

Pada masa yang sama, seorang peniaga yang dikenali sebagai Ghazali Abu Bakar tidak mendengar khabar angin tentang harga yang akan meningkat naik.

Namun, dia merasakan langkah apungan harga itu bakal mewujudkan persaingan dalam kalangan pembekal.

“Saya berpendapat jika ada pembekal terus naikkan harga, akan ada pembekal lain pula turunkan harga untuk pastikan ayam mereka terjual dan dapat untung,” katanya.

Walau bagaimanapun, dia menyatakan bahawa jualan ayam di pasar tersebut menurun disebabkan kurang permintaan dari pelanggan.

Pengapungan Harga Ayam Akan Diumum Pada 30 Oktober

Semalam (19 Oktober), Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan kerajaan akan melaksanakan pengapungan harga ayam dan telur pada 30 Oktober 2023.

Pelaksanaan ini merupakan hasil kerjasama dengan beberapa kementerian iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perangkaan.

Tambah beliau, perbincangan bersama beberapa pihak industri juga sedang dilakukan berkaitan harga apungan kedua-dua barang tersebut.

Baca Artikel Berkaitan: Pemansuhan Subsidi Tidak Akan Dilaksanakan Secara Serentak

Baca Artikel Berkaitan: “Subsidi Bantuan Untuk Orang Susah, Bukan Untuk Orang Kaya” – Anwar Ibrahim

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.