fbpx
Now Reading
Pasangan Warga Emas Cedera Disamun Dengan Parang

Pasangan Warga Emas Cedera Disamun Dengan Parang

Sewaktu melakukan pemeriksaan terhadap suspek, polis turut menemukan satu beg pakaian mangsa yang dibawa lari bersama parang digunakan semasa menyamun.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sepasang suami isteri mengalami kecederaan selepas disamun empat lelaki yang menceroboh kediamannya dengan membawa senjata parang di Jalan Solok Uban, Kampung Brisu, Simpang Ampat, Melaka, semalam (18 Februari).

Insiden tersebut berlaku pada pukul 11.40 malam dan disedari oleh anak perempuan mangsa yang awalnya terdengar bunyi bising. Dia kemudian membuka pintu bilik dan melihat dua lelaki dengan senjata parang cuba mendekatinya.

Sebaik melihat perkara itu, wanita itu segera mengunci pintu bilik dan menghubungi polis.

Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu sebaik laporan itu diterima, polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, anggota Balai Polis Simpang Ampang dan Cawangan D9 (siasatan Khas) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka dengan segera ke tempat kejadian.

Polis berjaya tahan seorang suspek yang sembunyi di semak berdekatan rumah yang di samun

Jelas beliau, menerusi hasil siasatan yang dilakukan mendapati suspek menyamun rumah mangsa menggunakan kereta jenis Honda City berwarna ‘silver’ dengan nombor plat tidak dapat dipastikan.

“Dalam kejadian ini mangsa lelaki berusia 60-an cedera di bahagian belakang badan, manakala isterinya berusia 70-an di bahagian tangan, kedua-duanya dirawat di Hospital Alor Gajah.

“Hasil pemerhatian dan pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian, polis mengesan seorang lelaki sedang bersembunyi di semak tepi rumah kosong dalam jarak kira-kira 200 meter dari rumah mangsa.

“Semasa proses menahannya, berlaku pergelutan di antara polis dan suspek,” ujarnya, lapor Berita Harian.

Satu beg pakaian turut dijumpai, polis rampas parang yang digunakan ketika menyamun

Kata Arshad lagi, sewaktu membuat pemeriksaan polis telah menemukan satu beg pakaian milik mangsa yang dibawa lari. Susulan itu polis telah bertindak merampas pakaian serta senjata parang yang dipercayai digunakan semasa menyamun.

Menerusi hasil semakan rekod jenayah lampau, suspek yang ditahan memiliki sebanyak 17 rekod dadah serta lima rekod jenayah. Hasil ujian dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis syabu.

“Suspek dibawa ke IPD Alor Gajah untuk reman dan hasil soal siasat, dia mengaku terbabit kes samun yang sedang disiasat bersama tiga rakan sejenayah yang masih bebas.

“Polis masih berusaha mengesan rakan-rakan suspek untuk siasatan kes yang diklasifikasikan sebagai samun bersenjata mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.”

Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes tersebut untuk tampil menghubungi balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Amirul Ashwar Khalid di talian 017 636 3451.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.