fbpx
Now Reading
“Kamu Salah Pilih Orang” – PM Anwar Dedah Akan Terus Pertahan Palestin Meski Terima Ugutan Barat

“Kamu Salah Pilih Orang” – PM Anwar Dedah Akan Terus Pertahan Palestin Meski Terima Ugutan Barat

Sepanjang Himpunan Malaysia Bersama Palestin, berlangsung, Axiata Arena bergema dengan laungan takbir, ‘bebaskan Palestin’ dan ‘Israel Cuak’.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum pasti mengetahui konflik Palestin-Israel masih berlanjutan dengan negara haram itu tanpa henti mengebom Gaza dan penduduknya.

Meskipun masyarakat seluruh dunia peka dengan apa perkara yang berlaku, namun masih ada dalam kalangan negara Barat yang kekal memihak kepada rejim Zionis itu seolah-olah merekalah ‘mangsa’ di dalam peperangan yang sudah melebihi tujuh dekad itu.

Namun Malaysia kekal dengan pendirian menyokong perjuangan Palestin dan jutaan penduduknya kerana kita tahu penindasan yang dihadapi mereka.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mewakili rakyat Malaysia beberapa kali mengeluarkan kenyataan menggesa dunia agar memberikan sokongan kepada Palestin sekaligus menoktahkan kekejaman Israel.

Terbaharu, Anwar mendedahkan pihaknya ada menerima ugutan dan ditekan oleh beberapa negara khususnya dari Barat dek kerana kelantangan Malaysia memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

Namun beliau menegaskan sama sekali tidak akan tunduk kepada tekanan dan ugutan berkenaan demi perjuangan Palestin.

“Kita rakyat Malaysia sememangnya tegas dalam mempertahankan hak Palestin. Dari jauh kita sokong kerana apa yang berlaku telah menyentuh nurani kita.

“Saya dikritik, diserang oleh beberapa negara Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Israel. Waspada saya beritahu, selagi saya diberi mandat oleh rakyat saya tidak terima ugutan itu, kita lawan tetap lawan.

“Ini saya nak tekankan, saya telah terima banyak teguran, ugutan… saya sebut kamu salah pilih orang,” tegas beliau ketika berucap di hadapan hampir 16,000 orang yang menyertai Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Stadium Axiata Arena Bukit Jalil, malam tadi (24 Oktober).

Tegas PM lagi, Malaysia adalah sebuah negara merdeka dan berdaulat justeru berhak untuk menyokong Palestin.

Beliau yang baru pulang dari lawatan ke Turkiye dan Mesir bagi membincangkan isu Palestin bagaimanapun mengakui mencari jalan penyelasaian bukan perkara mudah memandangkan Israel begitu bongkak dengan sokongan dari AS dan negara Eropah.

Justeru beliau meminta negara-negara Islam agar bersepakat dan bangkit untuk mempertahankan bumi Palestin.

Terdahulu hampir 16,000 orang membanjiri Axiata Arena dengan baju putih sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin.

Sepanjang program berlangsung, Axiata Arena bergema dengan laungan takbir, ‘bebaskan Palestin’ dan ‘Israel Cuak’.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.