fbpx
Now Reading
Pelancong China & India Ke Malaysia Dapat Pengecualian Visa 30 Hari Bermula 1 Disember Ini

Pelancong China & India Ke Malaysia Dapat Pengecualian Visa 30 Hari Bermula 1 Disember Ini

Menurut Anwar Ibrahim, bagaimanapun mana-mana pelawat yang memiliki rekod jenayah atau risiko keganasan tidak akan dibenarkan mendapat pengecualian terbabit.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Semalam (26 Oktober), kerajaan mengumumkan pengecualian visa selama 30 hari kepada para pelancong dari China dan India mulai 1 Disember hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengecualian visa itu bagaimanapun tertakluk kepada tapisan keselamatan bagi semua pelancong dari negara-negara berkenaan yang ingin memasuki Malaysia.

“Saya nak mengumumkan kemudahan visa, menambah kemudahan sedia ada umpamanya bagi negara teluk seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iraq dan Iran dan semua negara Asia Barat termasuk Turkiye dan Jordan pada masa ini menikmati pengecualian kemudahan visa.

“Hari ini saya umumkan, tahun depan (sempena) 50 tahun hubungan diplomatik dengan China, untuk sambut semangat ini, mulai 1 Disember ini, kita beri tambahan dari negara Arab, Turkiye dan Jordan, kemudahan kepada rakyat China dan India, pengecualian visa selama 30 hari,” katanya dipetik Berita Harian.

Pelawat miliki rekod jenayah dan risiko keganasan tidak mendapat pengecualian visa

Menurutnya, bagaimanapun mana-mana pelawat yang memiliki rekod jenayah atau risiko keganasan tidak akan dibenarkan mendapat pengecualian terbabit.

“Ini akan wewenang pasukan keselamatan manakala kemudahan lain akan diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail), mungkin esok,” katanya.

Malaysia miliki hubungan baik dengan negara ASEAN, Jepun, Korea dan India

Tegas Anwar, Malaysia memiliki hubungan baik dengan negara ASEAN, Jepun, Korea dan India selain China yang memiliki hubungan strategi dengan negara ini.

“China sambut (hubungan dengan Malaysia) dengan beri kemudahan untuk Malaysia ke China tanpa visa selama 15 hari.

“Setakat ini, pelancongan paling tinggi ke Malaysia adalah Singapura dan Indonesia di ASEAN, tetapi luar ASEAN paling tinggi adalah negara China dan potensi pelancongan dari China amat besar,” ujar Anwar.

Menurut Malaymail yang memetik China Daily, Malaysia merupakan antara enam negara yang dibenarkan masuk tanpa visa selama 15 hari bagi tempoh 12 bulan kehadapan.

Pelancong Malaysia ke China tak perlu visa bermula 1 Disember ini

Jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning mengumumkan bahawa negaranya menawarkan kemasukan tanpa visa kepada pemegang pasport biasa dari Malaysia, Perancis, Jerman, Itali, Belanda dan Sepanyol mulai 1 Disember 2023 sehingga 30 November tahun depan.

Jelas Ning, keenam-enam negara ini boleh memasuki China tanpa visa selama 15 hari bagi tujuan perniagaan, pelancongan, melawat keluarga dan transit.

Negara-negara yang mendapat pengecualian visa dari Malaysia

Sekadar info, setakat ini negara-negara teluk seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iraq serta semua negara Asia Barat termasuk Turkiye dan Jordan menikmati kemudahan pengecualian visa.

Kemudahan sama turut dinikmati lapan negara ASEAN lain yang membenarkan lawatan bagi tujuan melancong dan perniagaan sehingga 30 hari.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.