Insiden Perodua Bezza Dikejar 28 MPV Polis: Pemandu Dipenjara Sebulan & Denda RM10,000
Tertuduh, B Anbarasan yang bekerja sebagai pemandu lori itu juga hilang kelayakan untuk memandu selama lima tahun dan akan dipenjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada awal pagi Selasa (5 Disember) yang lalu, tular di media sosial video-video sebuah kereta Perodua Bezza dikejar 28 unit peronda polis (MPV).
Perodua Bezza itu dikejar polis dari Petaling Jaya dan sebelum akhirnya ditangkap di Cyberjaya.
Insiden kejar mengejar itu nyata mengejutkan ramai pihak terutamanya penduduk sekitar Cyberjaya yang tertanya-tanya mengenai kejadian tersebut.
Namun, polis yang menahan suspek berjaya menemui peralatan pecah rumah dalam kenderaan tersebut.
Dijatuhi Hukuman Penjara Sebulan & Denda RM10,000
Terbaharu, pemandu kereta berkenaan yang dikenali sebagai B Anbarasan dijatuhi hukuman penjara selama sebulan dan denda sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya.
Pemandu yang berusia 27 tahun itu dijatuhkan hukuman tersebut oleh Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha selepas dia mengaku bersalah atas kesalahan memandu secara melulu dan menghalang tugas penjawat awam.
Tertuduh yang bekerja sebagai pemandu lori itu juga hilang kelayakan untuk memandu selama lima tahun dan akan dipenjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Dia diarah menjalani hukuman penjara bermula hari ini (8 Disember).
Tertuduh Didakwa Mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 & Seksyen 186 Kanun Keseksaan
Berdasarkan pertuduhan, Anbarasan didapati memandu Perodua Bezza dengan cara melulu hingga boleh mendatangkan bahaya kepada diri dan pengguna lain pada Selasa (5 Disember) yang lalu kira-kira jam 1.30 pagi di Jalan Utara.
Bagi kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000.
Manakala, bagi kesalahan menghalang tugas penjawat awam, dia dituduh menghalang tugas anggota polis Koperal Mohd Faizal Sulong pada hari yang sama insiden berkenaan.
Bagi kesalahan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara hingga dua tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Merayu Hukuman Minimum Namun Ditolak
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman diringankan atas alasan menjadi penanggung utama keluarga dan mempunyai anak berusia setahun.
Walau bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal memohon agar hukuman setimpal dikenakan atas faktor kepentingan awam, menghalang tugas penjawat awam serta memandu kenderaan dengan laju yang boleh membahayakan orang lain.
Tidak Mengaku Bersalah Atas Pertuduhan Memiliki Senjata Berbahaya
Bagi satu lagi pertuduhan, Anbarasan dan isteri, M Rishlani mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki senjata berbahaya.
Mereka didapati memiliki sebilah pisau tanpa kebenaran sah oleh undang-undang di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor.
Kedua-duanya didakwa mengikut 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pasangan Diikat Jamin & Perlu Lapor Diri Di Balai Polis Berdekatan
Hakim Faiz Dziyauddin membenarkan pasangan berkenaan masing-masing diikat jamin sebanyak RM5,000 serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan hingga kes selesai.
Malah, hakim turut menetapkan tarikh 16 Januari depan sebagai sebutan semula kes.
Untuk info, media sebelum ini melaporkan pemandu Perodua Bezza yang melarikan diri dan dikejar oleh 28 MPV Polis memiliki 11 rekod lampau.
Daripada jumlah tersebut, enam merupakan rekod jenayah, empat berkaitan dadah dan satu rekod merupakan kesalahan yang membabitkan sambun berkumpulan menggunakan senjata.
Ketika ditahan pada Selasa (5 Disember) lalu, polis menjumpai pisau, gunting, sarung tangan, topi keledar, kad pengenalan individu lain dan kad debit dalam kereta sewaktu pemeriksaan lanjut dibuat selepas kenderaan itu ditahan di Bulatan Taman Tasik, Cyberjaya.
Baca Artikel Berkaitan: