fbpx
Now Reading
“Menggigil Nak Mati” – Lelaki Terperangkap Dalam Lif Kondominium Hampir 2 Jam [Video]

“Menggigil Nak Mati” – Lelaki Terperangkap Dalam Lif Kondominium Hampir 2 Jam [Video]

Menurut Yusfariq, dia kecewa dengan respon dan SOP daripada pasukan keselamatan kondominium itu yang tidak menghubungi keluarganya dan bomba sehingga menyebabkan dia terperangkap hampir dua jam.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kejadian individu terperangkap di dalam lif sering berlaku di bangunan tinggi seperti rumah strata, pejabat dan banyak lagi.

Maka setiap pengguna yang menggunakan lif perlu mengetahui bagaimanakah cara untuk mendapatkan bantuan sewaktu terperangkap agar anda tidak panik. Selain itu, setiap bangunan yang mempunyai kemudahan lif perlu sentiasa diselenggara oleh pihak bertanggungjawab.

Lelaki luah rasa kesal atas kecuaian pihak keselamatan lepas terperangkap dalam lif

Baru-baru ini, seorang usahawan tudung dikenali sebagai Yusfariq meluahkan rasa kesal selepas dia terperangkap hampir dua jam di dalam lif sebuah kondominium di Cyberjaya, Selangor.

Menerusi perkongsian yang dimuat naik di TikTok, kejadian itu dipercayai berlaku pada 11 Mac dan dia mendakwa telah terperangkap sebegitu lama kerana kecuaian pihak keselamatan kondominium terbabit.

Menurut Yusfariq sebelum kejadian berlaku dia bersama keluarga dan rakan niaganya baru sahaja pulang daripada menonton wayang. Sebaik sampai di kondominium berkenaan dia lalu menurunkan ahli keluarga di lobi dan ibunya ingin mengambil telefon yang tertinggal di dalam rumah.

Nak ambil telefon di rumah sebelum terperangkap dalam lif

Yusfariq kemudian menawarkan diri untuk naik ke rumah bersama ibunya dalam keadaan telefon peribadi ditinggalkan di dalam kereta.

Namun sebaik selesai dia kemudian meminta ibunya untuk turun terlebih dahulu.

“Saya tengok wayang itu bersama keluarga dan Hafiy (rakan niaga). Jadi Hafiy tunggu dalam kereta dan telefon pun saya tinggal dalam kereta. Kebetulan ibu nak turun kerana abang saya ajak makan malam. Jadi saya suruh dia turun dulu,” jelasnya sebelum turun menggunakan lif terbabit.

Hubungi pihak keselamatan menerusi butang kecemasan dalam lif

Katanya sewaktu berada dalam lif dan ingin turun dari tingkat tujuh ke lobi secara tiba-tiba lif tersebut tersekat di tingkat lima. Sebaik tersekat dia kemudian segera menekan butang kecemasan untuk mendapatkan bantuan dan memaklumkan pihak keselamatan berhubung hal itu.

“Pada awalnya okay, saya cuma cakap saya tersekat boleh tolong saya tak dan mereka memaklumkan akan menghubungi pihak penyelenggaraan (maintenance). Selepas beberapa minit saya cuba hubungi lagi dan mereka kata cuba tekan butang tingkat G dan LG.

“Waktu saya tekan memang tak boleh, lampu semua ada cuma butang tu tidak berfungsi dan mereka kata okay kami hubungi pihak penyelenggaraan dan saya tunggu sahajalah. Selepas beberapa minit saya hubungi lagi dan bertanya adakah pihak penyelenggaraan sedang dalam perjalanan dan mereka mengatakan ya, dalam perjalanan.

“Awalnya semua okay namun lama-kelamaan menjadi was-was, dan seperti yang semua tahu 15 minit pun dan boleh buat orang panik, sesak nafas dan berkemungkinan mati. Beberapa minit lagi saya hubungi pihak keselamatan, dan untuk maklumat saya tidak memakai jam dan tidak membawa telefon. Saya hanya memegang telefon bimbit ibu saya yang rosak dan tidak boleh dihidupkan langsung,” jelasnya.

Foto: Sekadar hiasan (Pexels)

Security asyik kata pihak maintenance dalam perjalanan, mula rasa sesak nafas kerana tersekat dalam tempoh lama

Katanya lagi setiap kali dia menghubungi pihak keselamatan mereka asyik mengatakan pihak penyelenggaraan masih dalam perjalanan untuk membantunya sehingga membuatkan dia panik. Malah selepas beberapa minit apabila dia cuba menghubungi semula pihak keselamatan itu, mereka tidak mengangkat panggilan tersebut.

Ujarnya pada ketika itu nafasnya sudah mula sesak kerana dia tidak tahu sudah tersekat bagi tempoh berapa lama dalam lif berkenaan.

Selepas beberapa kali menghubungi, akhirnya mereka mengangkat panggilan itu dan dia meminta agar mereka cuba untuk membuka pintu lif sedikit agar udara boleh masuk ke dalam lif.

Security dakwa sudah hubungi keluarga berhubung kejadian menimpa Yusfariq

Namun jawapan yang diterima sangat menghampakan. Jelasnya, dia juga ada meminta pihak berkenaan untuk menghubungi keluarganya dan memaklumkan keadaan mereka menerusi panggilan intercom yang disambungkan secara terus ke unit rumah atau telefon bimbit memandangkan mereka menyimpan nombor telefon penduduk.

Pihak keselamatan kemudian memaklumkan telah menghubungi keluarga Yusfariq berhubung perkara tersebut.

“Apa yang saya buat, disebabkan dalam lif itu ada kipas. Jadi saya cuba ambil oksigen walaupun kipas tu bukan beroksigen. Tapi saya anggap dalam pemikiran saya ‘aku kena tenang, kalau aku panik oksigen akan cepat habis’. Jadi apa saya buat, saya baring dan pandang atas untuk mencari dari mana angin itu datang.”

Foto: Pexels

Pihak keselamatan letak telefon apabila tanya tentang keluarga

Dia juga mendakwa setiap kali menghubungi pihak keselamatan dan bertanya adakah mereka sudah menghubungi keluarganya, mereka kemudian segera meletakkan telefon dan membuatkan dia panik.

Selepas berulang kali menghubungi pihak keselamatan untuk mengetahui statusnya, akhirnya Yusfariq terdengar kakaknya merebut telefon tersebut dan memaklumkan mereka ada di situ dan memintanya untuk bersabar.

Tambah Yusfariq, dia berasa lega sebaik mendengar suara kakaknya, dan tidak tahu berapa lama berada dalam lif itu.

Akhirnya selepas sekian lama menanti pihak penyelenggaraan lif datang untuk mengeluarkan dia dari lif berkenaan. Namun sewaktu operasi menyelamat diadakan kelibat anggota keselamatan langsung tiada di tempat kejadian.

“Pihak penyelenggaraan baik kepada saya dan bertanya adakah saya okay dan boleh bangun atau tidak. Jadi lif itu tersekat di antara dua tingkat. Saya tak tahu tersekat antara tingkat lima ke enam atau lima ke empat.

“Saya keluar dan naik lif yang lain dan ada ramai orang dan ada pihak keselamatan. Standard Operating Procedure (SOP) biasa security tu ambil gambar dan sebagainya. Turun-turun tengok ayah saya sedang mengamuk. Masa mengamuk tulah baru saya tahu dah tersekat satu jam lebih.

“Saya ingatkan 30 minit rupanya satu jam lebih,” ujarnya.

Keluarga marah dakwa pihak keselamatan tak hubungi maklumkan kejadian itu

Semua ahli keluarganya ketika itu marah dan mendakwa pihak keselamatan langsung tidak menghubungi mereka dan hanya berharap pihak penyelenggaraan yang datang membantu.

Sebaliknya hanya mengetahui perkara itu 40 minit selepas insiden, itu pun apabila mereka tergerak hati untuk melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam lif.

Malah mereka menjadi lebih kesal apabila pihak keselamatan tidak menghubungi bomba sebaliknya hanya bergantung kepada bantuan dari pasukan penyelenggaraan.

“Ini kecuaian tak tahu mereka melatih anggota keselamatan atau tidak apabila berlaku kecemasan seperti ini, kerana ayah saya tahu SOP. Jadi kalau terperangkap pihak pentadbiran atau security akan ada seorang maintenance yang standby (bersiap sedia) untuk pegang kunci dan kalau apa-apa berlaku boleh bantu untuk bagi ruang pernafasan.

“Selepas 15 minit kalau maintenance tak sampai-sampai sepatutnya mereka hubungi bomba.”

Tak dapat bayangkan jika insiden berlaku pada ibu

Jelas Yusfariq dia tidak dapat membayangkan sekiranya insiden itu menimpa ibunya memandangkan pada awalnya wanita itu yang ingin naik ke rumah mereka untuk mengambil telefon bimbit tersebut.

Ini kerana dia yang di usia muda juga rasa terketar-ketar dan rasa ingin mati sewaktu terperangkap di dalam lif berkenaan.

Selepas kejadian itu, mereka kemudian membuat laporan polis dan menjadikan insiden yang berlaku sebagai pengajaran dan apa perlu dilakukan apabila terperangkap di dalam lif.

@yusfariq

NOT LAKEFRONT RESIDENCE ! Tolong lah mana2 Security Company or Management please train your security benda emergency macam ni, kalau jadi dekat budak or orang tua? Stuck in Lift’s condo in Cyberjaya area for almost 2 hours was a crazy experience..

♬ original sound – Yusfariq | The.Jasmine – Yusfariq | The.Jasmine
View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.