fbpx
Now Reading
Budak 11 Tahun Antara 7 Kanak-kanak Lelaki Ditangkap Polis Kerana Curi Motosikal

Budak 11 Tahun Antara 7 Kanak-kanak Lelaki Ditangkap Polis Kerana Curi Motosikal

Menurut Ketua Polis Daerah Sibu, ketujuh-tujuh kanak-kanak itu berserta motosikal yang dicuri telah dibawa ke Balai Polis Sibujaya untuk tindakan lanjut.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Siapa sangka, sekumpulan kanak-kanak berusia belasan tahun yang sepatutnya meluangkan masa dengan belajar dan bermain telah ditangkap polis kerana jenayah mencuri.

Tujuh kanak-kanak lelaki di Sibu, Sarawak itu juga berdepan dengan hukuman penjara kerana disyaki mencuri tiga buah motosikal di Taman Sibujaya.

Foto: PDRM via Kosmo

Kesemua suspek berusia 11 hingga 15 tahun ditangkap pada 10 Disember

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, kesemua suspek berusia 11 hingga 15 tahun itu ditangkap oleh Bahagian Siasatan jenayah Sibu dan juga Bahagian Ronda Cegah Jenayah, Balai Polis Sibujaya, kelmarin (10 Disember).

Menurutnya, tangkapan dibuat sejurus pihak polis menerima tiga laporan daripada tiga pengadu antara pukul 7 hingga 10 pagi yang mengatakan motosikal milik mereka telah hilang.

“Tangkapan pertama melibatkan dua suspek berusia 12 dan 15 tahun, yang kemudian membawa kepada tangkapan lima lagi rakan mereka berusia 11 hingga 13 tahun.

“Turut dirampas tiga buah motosikal yang dilaporkan hilang,” katanya dipetik Kosmo hari ini (12 Disember).

Kesemua suspek dan motosikal yang dicuri dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut

Menurutnya lagi, ketujuh-tujuh kanak-kanak itu berserta motosikal yang dicuri telah dibawa ke balai polis terbabit untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal polis mendapati kesemua suspek mengaku terlibat dalam kes tersebut,” katanya lagi.

Susulan itu, Zulkipli berkata kesemua suspek telah dipohon reman selama dua hari bermula semalam sehingga esok (11 – 13 Disember).

Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motor

Berkongsi lanjut, beliau berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan (kesalahan mencuri sebuah kenderaan motor).

Jelasnya, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari tujuh tahun berserta hukuman denda.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.