fbpx
Now Reading
Individu Dakwa Kerajaan Malaysia Minta Platform X Padam Ciapan Selepas Gelar Fahmi Fadzil ‘Moron’

Individu Dakwa Kerajaan Malaysia Minta Platform X Padam Ciapan Selepas Gelar Fahmi Fadzil ‘Moron’

Individu terbabit mendakwa Fahmi tidak kompeten sehingga perlu mewujudkan satu lagi kementerian baharu yang akan menelan kos sekurang-kurangnya RM100,000.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang individu mendakwa kerajaan Malaysia telah meminta platform media sosial X (Twitter) untuk memadam salah satu ciapan yang dimuat naik olehnya pada 12 Disember lalu berkaitan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Dalam ciapan yang dimuat naik di akaun X @yindian5, individu berkenaan mempersoalkan rombakan kabinet yang memecahkan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menjadi dua kementerian berbeza.

Pengguna X itu mendakwa kerajaan terpaksa mengasingkan kementerian tersebut kerana Fahmi Fadzil tidak menjalankan kerjanya dengan baik.

Bukan itu sahaja, dia turut menggelarkan Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai itu sebagai ‘moron’.

Namun, sehari selepas itu (13 Disember), dia memuat naik lagi ciapan dengan tangkap layar notis yang diterimanya daripada pihak X.

Platform X beri notis, terima arahan daripada kerajaan Malaysia berhubung ciapan tersebut

Notis tersebut menyatakan bahawa mereka telah menerima permintaan daripada kerajaan Malaysia dengan mendakwa kandungan yang dimuat naik oleh individu berkenaan melanggar undang-undang Malaysia.

Bagaimanapun, pihak X belum mengambil sebarang tindakan terhadap akaun milik individu itu seperti yang diminta.

“Disebabkan ketidakcekapan anda, satu kementerian baru (akan ditubuhkan) yang akan menelan kos sekurang-kurangnya RM100,000 sebulan. Berapa banyak kakitangan perubatan yang boleh diupah dengan angka itu.”

Twitter/yindian5

Fahmi Fadzil nafi buat laporan kepada MCMC

Pun begitu, Fahmi menafikan dakwaan bahawa beliau telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk mengarahkan platform X memadam hantaran tersebut.

Menurutnya, selain beliau, pejabat serta kakitangannya tidak pernah membuat laporan berhubung perkara itu, malah MCMC bebas untuk membuat apa-apa tindakan tanpa perlu merujuk kepada beliau.

“Saya hanya mahu jelaskan bahawa MCMC menerima laporan daripada sesiapa sahaja, orang awam.

“Saya belum berbincang dengan MCMC mengenai perkara tersebut, tetapi secara amnya MCMC tidak merujuk kepada saya sebelum mengambil tindakan.

“Mereka (MCMC) bebas untuk ambil tindakan. Jadi kadang-kadang mungkin orang awam yang melaporkannya,” katanya dipetik Harian Metro.

Jelas Fahmi lagi, beliau juga tidak terkesan dengan hantaran yang dimuat naik oleh pengguna X itu terhadap dirinya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.