Kontroversi Klip ‘Love Raya’ Aliff Syukri, Fahmi Fadzil Minta MCMC Untuk Ambil Tindakan
Menurut Fahmi, beliau telah meneliti kandungan video yang dimuat naik Aliff Syukri dan meminta MCMC mengambil tindakan yang bersesuaian.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sebelum ini, kecoh di media sosial apabila usahawan kontroversi, Datuk Seri Aliff Syukri bertindak memuat naik satu klip video bertemakan lagu raya sehingga menjadi perhatian ramai.
Malah ramai yang turut menyifatkan pakaian serta aksi tarian dilakukan oleh usahawan berkenaan bersama penari di dalam video berkenaan adalah tidak sesuai dan tidak menghormati bulan Ramadan, selain turut diselar ibunya sendiri iaitu Rozita Ibrahim.
Aliff kemudian memadam video berkenaan dari media sosialnya serta tampil membuat permohonan maaf kepada orang ramai selain turut memaklumkan ia hanyalah prank semata-mata.
Baca artikel berkaitan: “Saya Tiada Lagu Raya, Saja Sakat Korang, April Fool!” – Aliff Syukri [Video]
Fahmi Fadzil minta MCMC ambil tindakan isu video Aliff Syukri
Terbaharu Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil telah meminta pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk mengambil tindakan yang sewajarnya mengenai isu klip video yang dimuat naik oleh usahawan berkenaan.
Menurutnya, beliau telah menerima banyak maklum balas dari orang ramai mengenai video terbabit sehingga ia menimbulkan rasa kurang senang pada masyarakat.
“Saya telah menonton sebahagian video yang telah dimuat naik dan saya telah minta MCMC untuk meneliti perkara ini dan mengambil tindakan bersesuaian.. tetapi pada masa sama ramai yang mungkin mengambil maklum keputusan Datuk Seri Aliff Syukri untuk tidak memuat naik (klip penuh) video tersebut.
“Buat masa ini, kita biarkan dahulu,” katanya lagi.
Influencer dan pencipta kandungan dinasihat buat konten bersesuai untuk semua golongan
Fahmi dalam masa sama turut menasihati pencipta kandungan serta influencer media sosial untuk menghasilkan konten yang sesuai buat semua golongan khususnya kanak-kanak.
“Kita perlu memikirkan kandungan yang kita hasilkan dengan lebih mendalam sama ada sesuai memandangkan pada waktu ini, kita tidak tahu (sama ada) yang menonton kandungan itu berumur 90 tahun, 19 tahun atau sembilan tahun.”
Ini kerana, kerajaan bimbang jika kandungan yang dihasilkan boleh memberi impak negatif khususnya ke atas kanak-kanak yang berusia bawah 13 tahun.
Dr Akmal minta orang ramai boikot produk Aliff Syukri
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh dalam satu hantaran di media sosial rasminya turut menyeru orang ramai memboikot produk dikeluarkan usahawan berkenaan ekoran daripada tindakannya memuat naik video yang dilihat keterlaluan.
Malah Dr Akmal turut memaklumkan tindakan usahawan itu bukanlah kali pertama sebaliknya Aliff sebelum ini pernah didakwa di mahkamah pada tahun 2022 atas kesalahan yang sama.
“Takkan lah setiap tahun buat lepas tu minta maaf, tak boleh jaga ke sensitiviti umat Islam di kala bulan Ramadan ni. Nak keluarkan video, nak keluarkan lagu. Keluarlah tapi jangan keluarkan video yang membuatkan orang sakit hati dan mata melihatnya.
“Langsung tak jaga sensitiviti dengan pakaian yang begitu,” katanya.
Padam dan tarik semua video dikeluarkan dan ambil tindakan keras
Malah dalam video tersebut Dr Akmal berpendapat pihak kementerian bertanggungjawab untuk memadam dan menarik semua video yang telah dikeluarkan dan mengambil tindakan keras iaitu undang-undang.
“Bagaimana kita minta untuk rakyat Malaysia boikot KK Mart atas tidak menjaga sensitiviti umat Islam di negara ini, sama juga kita minta seluruh umat Islam untuk kita bagi pengajaran yang keras. Kita boikot segala produk yang dikeluarkan Aliff.
“Cukuplah ini bukan soal kamu nak jadikan kreatif konten atau konten di luar kotak. Ini adalah konten yang tak ada otak Aliff. Jadi kita teruskan, kita minta pada seluruh rakyat Malaysia kali ini kita beri pengajaran keras. Kita boikot produk ni biar dia tahu bagaimana kemarahan rakyat Malaysia.”