fbpx
Now Reading
Baru Sehari Berkahwin, Pengantin Lelaki Maut Terlibat Kemalangan

Baru Sehari Berkahwin, Pengantin Lelaki Maut Terlibat Kemalangan

Pasangan pengantin baru itu terlibat kemalangan pada hari Ahad lalu (17 Disember) semasa mereka dalam perjalanan ke rumah keluarga isteri di Kampung Tersusun Bagan Sungai Burong.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Siapa sangka, kegembiraan pasangan pengantin baharu yang meraikan hari bahagia bersama ahli keluarga berakhir dengan tragedi menyayat hati apabila kedua-duanya terlibat dalam kemalangan maut sehari selepas itu.

Insiden menyebabkan pengantin lelaki Norsyam Nasullah Rahim, 23, meninggal dunia akibat nahas tersebut, manakala isterinya, Aini Hayati Mohd Radzi, 22 pula mengalami kecederaan di dagu dan patah kaki kiri.

Aini Hayati dan Norsyam Nasullah telah melangsungkan majlis perkahwinan mereka di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar pada Sabtu lalu (16 Disember).

Foto: Adik pengantin perempuan via Sinar Harian

Sehari selepas itu, pasangan terbabit bertolak ke sebuah butik pengantin di Kuala Lumpur untuk menghantar kembali baju pengantin yang disewa mereka.

Namun takdir mengatasi segalanya apabila mereka yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumah keluarga Aini Hayati di Kampung Tersusun Bagan Sungai Burong telah terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Batu 3, Jalan Bernam, Tanjong Karang.

Keluarga tahu tentang kemalangan menerusi Facebook

Abang Aini Hayati, Muhd Aiman yang berumur 25 tahun berkata, dia dan keluarga menerima maklumat mengenai kemalangan terbabit menerusi Facebook.

Menurutnya, ketika itu dia dalam perjalanan pulang ke rumah di Kajang sebelum dihubungi rakan adik perempuannya yang turut memaklumkan perkara sama.

“Saya yang sudah sampai di Sungai Buloh segera berpatah balik dan bergegas ke Hospital Tanjong Karang selepas dimaklumkan mereka dibawa ke sana.

“Tidak lama selepas kami sampai, pihak hospital memaklumkan suami adik meninggal dunia,” katanya dipetik Harian Metro semalam (18 Disember).

Menurutnya lagi, Allahyarham Norsyam Nasullah yang dikenali selepas bertunang dengan adiknya merupakan seorang yang pemalu tetapi baik serta peramah.

“Saya terkejut dengan kejadian menimpa mereka tetapi sudah ketentuan Allah SWT.

“Jenazah dimandikan dan dikafankan di Hospital Tanjong Karang sebelum dibawa pulang ke rumah keluarganya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

“Adik pula dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut,” katanya.

Kemalangan libatkan Perodua Bezza, Nissan Almera dan Honda City

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, dalam kejadian jam 10.50 malam itu, pasangan pengantin berkenaan menaiki Perodua Bezza sebelum terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain iaitu Nissan Almera dan Honda City.

Jelas Ramli, mangsa yang memandu Perodua Bezza meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pemandu Honda City yang juga wanita berusia 30-an patah kaki kanan manakala pemandu Nissan Almera berusia 50-an hanya cedera ringan.

“Siasatan mendapati pemandu Perodua Bezza dari arah Klang ke Teluk Intan dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan Honda City.

“Akibat pelanggaran itu, Perodua Bezza terbalik dan masuk ke lorong kanan jalan.

“Pada masa sama, Nissan Almera gagal mengelak lalu melanggar sisi kanan kereta terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Berkongsi lanjut, beliau berkata pelanggaran itu menyebabkan Perodua Bezza terseret sejauh 11 meter dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.