Pemilik Stesen Minyak Di R&R Rawang Mengaku Bersalah Jual Minyak RON 95 Kepada Kereta Plat Asing
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh berusia 61 tahun yang juga pemilik stesen minyak di hentian R&R Rawang gagal mematuhi Arahan Pengawal Bekalan kerana menjual barang kawalan berjadual RON 95 kepada kereta plat asing dari Thailand.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada Januari lalu, tular di media sosial satu video memaparkan seorang wanita dengan kenderaan berpendaftaran asing dari Thailand didakwa mengisi minyak RON 95 di sebuah stesen minyak Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Rawang, Selangor.
Perkara itu secara tidak langsung telah menimbulkan kekecewaan orang ramai kerana umum mengetahui petrol RON 95 merupakan minyak subsidi yang dikhaskan untuk kegunaan rakyat dan kenderaan Malaysia.
Malah apa yang lebih menjadi perhatian terdapat seorang pekerja stesen berkenaan turut membantu wanita berkenaan semasa mengisi minyak tersebut.
DAH LA CURI MINYAK SUBSIDI RAKYAT MALAYSIA, TAPI YANG TAK PAHAM KENAPA STAFF PETRONAS SIAP DATANG TOLONG PENUH KAN KERETA TU LAGI. LOKASI DEKAT RAWANG JAUH DARI SEMPADAN THAILAND@KPDN_HQ @anwaribrahim @rafiziramli pic.twitter.com/ifVAM9sBBK
— MALAYSIA MOST VIRAL (@MALAYSIAVIRALLL) January 2, 2024
Pemilik stesen minyan R&R Rawang mengaku bersalah jual RON95 kepada kenderaan asing
Hari ini (15 Mac), pemilik stesen minyak berkenaan yang dikenali sebagai Mohammad Naziruddin Abu Hassan membuat pengakuan bersalah selepas dia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menjual petrol RON95 kepada kenderaan terbabit.
Tertuduh yang berusia 61 tahun yang merupakan Orang Kena Sama (OKS) mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.
Walau bagaimanapun, mahkamah kemudiannya menetapkan perbicaraan kes pada 26 April bagi fakta kes dan jatuh hukum.
Pemilik stesen minyak gagal patuhi Arahan Pengawal Belakan kerana jual RON 95
Memetik laporan Kosmo, mengikut kertas pertuduhan pemilik yang memegang lesen runcit barang kawalan berjadual bagi petrol dan diesel tersebut telah gagal mematuhi Arahan Pengawal Bekalan apabila menjual barang kawalan berjadual RON 95 berjumlah 48.78 liter kepada kenderaan nombor berpendaftaran asing tersebut.
Perbuatan yang dilakukan tertuduh jelas melanggar Peraturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Belakan 1974.
Mohammad Naziruddin didapati melakukan kesalahan itu di sebuah stesen minyak R&R, Lebuh Raya Utara-Selatan arah Utara pada 1 Januari, jam 9.16 pagi.
Boleh didenda maksimum RM1 juta jika sabit kesalahan
Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan di bawah Peraturan 21(1) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).
Jika disabit kesalahan tertuduh boleh didenda maksimum RM1 juta atau dipenjara untuk tempoh tidak melebhi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Ketika perbicaraan, pendakwaan telah dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Hannah Abd. Wahab dengan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor Nor Wahidah Muhammad.
Manakala tertuduh diwakili oleh penguam Muhammad Syahmi Akif Jamili.