Empat lelaki dan seorang wanita yang terlibat dalam pergaduhan hingga menyebabkan kematian seorang lelaki warga asing telah ditahan polis.
Kesemua suspek yang juga warga asing ditahan dalam serbuan berasingan di Kuantan, Pahang dan Pandan Indah, Selangor pada jumaat lalu (15 Disember).
Pergaduhan berlaku pada 10 Disember lalu di Taman Pandan Jaya
Menurut Harian Metro yang memetik sumber, pergaduhan terbabit berlaku pada 10 Disember lalu di hadapan sebuah kedai runcit di Taman Pandan Jaya, Ampang Jaya.
Dipercayai pergaduhan tersebut mula tercetus disebabkan suspek berada dalam keadaan mabuk.
“Kejadian berlaku ketika rakan mangsa ingin menutup kedai runcit itu diserang suspek sebelum mangsa yang melihat kejadian itu datang membantu.
“Berlaku pergaduhan ketika itu sebelum mangsa dan rakannya ditikam suspek yang kemudian melarikan diri menyebabkan mangsa maut manakala rakannya parah,” katanya.
Kesemua suspek ditahan untuk membantu siasatan
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi mengesahkan kejadian terbabit dan suspek ditahan untuk membantu siasatan kes tersebut.
“Suspek ditahan pada jam 10 malam Jumaat lalu dalam beberapa siri serbuan di Jalan Kemaman, Kuantan, Pahang dan kawasan Pandan Indah.
“Polis menahan empat lelaki warga asing berusia 23 hingga 51 tahun dan seorang wanita warga asing berusia 19 tahun,” katanya dipetik Harian Metro.
Menurutnya, suspek ditahan reman sehingga 22 Disember ini bagi membantu siasatan selain kes tersebut juga akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.