fbpx
Now Reading
Suami Meninggal Dunia Selang 2 Jam Selepas Isteri Menghadap Ilahi

Suami Meninggal Dunia Selang 2 Jam Selepas Isteri Menghadap Ilahi

Norazizah Jasri meninggal dunia kerana jangkitan kuman dalam paru-paru manakala suaminya pula yang menghembuskan nafas terakhir selang dua jam akibat strok.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Setiap pasangan suami isteri, pasti mengimpikan hidup bahagia sehingga ke akhir hayat dan berdoa kepada Allah SWT agar umur mereka dipanjangkan.

Manakan tidak, menghadapi kehilangan orang tersayang adalah sesuatu perkara yang sangat berat dan sukar untuk dilalui, namun tetap harus menerima ketentuan Illahi.

Bagaimanapun ada juga pasangan yang sudah ditentukan oleh Allah SWT untuk hidup dan mati bersama.

Pasangan suami isteri meninggal dunia selang dua jam

Begitulah yang berlaku kepada sepasang suami isteri di Felda Air Tawar, Kota Tinggi, Johor ini apabila mereka berdua meninggal dunia hanya dalam waktu selang dua jam sahaja.

Mohamad Basar, 60, meninggal dunia akibat strok tidak lama selepas menerima maklumat tentang kematian isterinya Norazizah Jasri, 60, awal pagi semalam (20 Disember) akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.

Norazizah dirawat di HKT sejak 18 Disember akibat jangkitan paru-paru

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, Norazizah telah dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT) sejak Isnin lalu (18 Disember) akibat jangkitan paru-paru.

“Pasangan berkenaan tinggal berdua sahaja di rumah Blok B1, Felda Air Tawar 4 dan dimaklumkan tidak dikurniakan anak. Pada Isnin isterinya telah dihantar ke HKT untuk menerima rawatan akibat jangkitan paru-paru.

“Menjelang waktu subuh hari ini pukul 3 pagi dia disahkan meninggal dunia di wad HKT. Punca kematiannya akibat kegagalan fungsi organ dalaman.

“Kira-kira pukul 4 pagi difahamkan jiran telah hadir ke rumah suaminya untuk memaklumkan tentang berita kematian tersebut dan mendapati suami kepada si mati tidak sedarkan diri di ruang bilik solat rumah tersebut,” katanya dipetik Kosmo.

Mohamad Basar disahkan meninggal dunia selepas jiran bawa ke HKT untuk dirawat

Menurutnya, pihak jiran lelaki tersebut telah bertindak menghantarnya ke HKT untuk menerima rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia sekitar pukul 5 pagi.

Berkongsi lanjut, Hussin berkata kedua-dua jenazah pasangan tersebut telah selamat dikebumikan pada kira-kira 11.30 pagi semalam di Tanah Perkuburan Islam, Felda Air Tawar 4.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.