fbpx
Now Reading
Isu Boikot, McDonald’s Malaysia Saman BDS Malaysia

Isu Boikot, McDonald’s Malaysia Saman BDS Malaysia

Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd telah mengemukakan satu Writ Saman kepada BDS Malaysia atas dakwaan membuat hantaran berbaur fitnah mengenai McDonald’s Malaysia.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Konflik di antara Palestin dan Israel yang bermula sejak 7 Oktober lalu telah menyebabkan banyak nyawa terkorban.

Menurut laporan Al-Jazeera, jumlah tersebut telah mencecah lebih daripada 21,000 sehingga ke hari ini.

Susulan daripada konflik yang berlaku di Timur Tengah itu telah menyebabkan orang ramai mula menunjukkan sokongan mereka terhadap Palestin dengan pelbagai cara.

Antaranya adalah dengan memboikot syarikat yang secara terang-terangan menyokong rejim Zionis itu.

Malah, beberapa perusahaan popular seperti McDonald’s turut terpalit dan berdepan boikot orang ramai.

Baca Artikel Berkaitan: “Kepung Demi Palestin” – Piket 6 Hari Di Hadapan Kedutaan Amerika Syarikat

Satu organisasi tempatan yang lantang memperjuangkan usaha boikot adalah Boycott, Divestment, Sanctions (BDS Malaysia).

Sasaran boikot ditumpukan ke atas beberapa syarikat yang bersubahat secara langsung dengan Israel seperti Puma dan Hewlett Packard (HP).

Terbaharu, BDS Malaysia mendakwa telah menerima notis undang-undang dan penyataan tuntutan dari Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd selaku pemegang lesen McDonald’s di Malaysia atas dakwaan membuat kenyataan fitnah.

Menerusi satu Writ Saman yang BuzzKini lihat, McDonald’s Malaysia pada 10 November lalu telah mengemukakan satu surat tuntutan (LOD) menuntut BDS Malaysia menurunkan beberapa kandungan yang disifatkan sebagai fitnah yang telah dimuat naik di laman sosial miliknya.

Gesa BDS buat permohonan maaf

Selain itu, ia juga menggesa BDS untuk membuat permohonan maaf berhubung perkara tersebut.

Antara kenyataan yang dimaksudkan adalah seperti yang terdapat pada halaman Facebook BDS Malaysia bertarikh 23 Oktober, hantaran Instagram bertarikh 27 Oktober, serta hantaran di akaun Facebook peribadi Pengerusinya, Profesor Dr Mohd Nazari Ismail pada 9 November.

Gerbang Alaf Restaurants juga telah meminta BDS Malaysia untuk melakukan beberapa perkara antaranya menghentikan sebarang tindakan yang mencemarkan reputasi McDonald’s dan menurunkan sebarang kenyataan fitnah, dan banyak lagi.

Namun di dalam writ yang kami lihat itu, BDS Malaysia didakwa tidak memenuhi tuntutan McDonald’s Malaysia seperti yang tertera di dalam surat notisnya antaranya pada 10 November dan 23 November.

McDonald’s Tuntut Ganti Rugi RM6 Juta Dari BDS Malaysia

Di dalam writ saman tersebut, McDonald’s Malaysia telah mengemukan beberapa tuntutan antaranya pembayaran ganti rugi khas berjumlah RM6 juta, yang tidak termasuk ganti rugi am dan ganti rugi teladan.

McDonald’s Malaysia turut menuntut supaya gerakan itu menyiarkan permohonan maaf di laman web, Facebook dan Instagram dalam masa 48 jam daripada tarikh writ, dan tidak boleh dipadam sehingga bila-bila.

McDonald’s Malaysia sahkan saman BDS Malaysia

BuzzKini telah menghubungi McDonald’s Malaysia untuk mendapatkan komen berhubung perkara ini.

McDonald’s Malaysia kemudiannya mengesahkan kepada BuzzKini bahawa pihaknya telah memfailkan saman sivil terhadap BDS Malaysia demi melindungi hak dan kepentingan mereka mengikut undang-undang.

“Kami telus dan konsisten dalam komunikasi kami bahawa McDonald’s Malaysia tidak menyokong dan tidak membenarkan konflik semasa di Timur Tengah dan seperti semua rakyat Malaysia, simpati setinggi-tingginya kami tujukan kepada mangsa yang tidak bersalah di Gaza.

“Kami telah menyumbang sejumlah RM1 juta kepada Tabung Kemanusiaan Palestin yang dilancarkan oleh kerajaan dan akan terus berdoa agar konflik berakhir dan keamanan berterusan di Gaza.

“Kami seterusnya mengulangi pendirian bahawa McDonald’s Malaysia tidak menyalurkan sebarang jualan, keuntungan, royalti atau yuran francais daripada operasi restoran untuk menyokong sebarang kumpulan politik atau konflik di mana-mana bahagian dunia.

“Walaupun kami memahami dan menghormati bahawa tindakan memboikot adalah keputusan individu, kami percaya bahawa ia harus berdasarkan fakta yang benar dan bukan dakwaan palsu,” kata McDonalds dalam satu kenyataan.


BDS Malaysia Nafi Tuduhan McDonald’s

BDS Malaysia sebentar tadi turut mengeluarkan satu kenyataan mengesahkan bahawa pihaknya ada menerima Writ Saman dari McDonald’s Malaysia atas tuduhan membuat fitnah terhadap syarikat tersebut.

Namun begitu, BDS Malaysia menafikan dakwaan ini dan mengambil keputusan untuk meneruskan perkara ini ke peringkat mahkamah.

BDS Malaysia telah mendapatkan khidmat firma guaman Raja Riza & Associates. Kenyataan yang lebih terperinci akan menyelusuri setelah berunding dengan kumpulan peguamnya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.