fbpx
Now Reading
Isu Baling Molotov: Tindakan Ngeh Kait Bersatu & PAS Disifat Tidak Bertanggungjawab – Hamzah

Isu Baling Molotov: Tindakan Ngeh Kait Bersatu & PAS Disifat Tidak Bertanggungjawab – Hamzah

Hamzah Zainudin turut menggesa semua pihak untuk mengambil pengajaran daripada kejadian itu agar lebih berhati-hati dalam memberikan sesuatu pandangan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham mengaitkan Parti Pribumi Besatu Malaysia (Bersatu) dan PAS mengapi-apikan isu sehingga membawa kepada serangan ‘molotov cocktail’ terhadap rumahnya sebagai tidak bertanggungjawab.

Menurut Hamzah yang juga Setiausaha Agung Besatu itu, orang Islam akan bangkit dengan sendirinya tanpa perlu diapi-apikan apabila urusan agama itu dicampuri pihak luar.

“Sayugia diingatkan dalam urusan agama Islam ini tak perlu dicampuri oleh pihak luar yang tidak berkaitan, kerana apabila dicampuri, orang Islam akan bangkit tanpa perlu diapi-apikan.

“Sebab itu daripada menuduh, sepatutnya beliau (Ngeh) memohon maaf dan insaf tanpa menuduh orang lain,” katanya.

Hamzah gesa semua pihak ambil iktibar, kena berhati-hati dalam lontarkan pandangan

Berkongsi lanjut, Hamzah turut menggesa semua pihak untuk mengambil pengajaran daripada kejadian itu agar lebih berhati-hati dalam memberikan sesuatu pandangan.

“Apatah lagi jika ia menyentuh mengenai hal-hal sensitif kerana kita tidak mahu disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga, sedangkan nikmat keamanan yang dikecapi ini tidak dibina dalam tempoh semalaman,” katanya lagi.

Pihak yang baling bom botol perlu diadili melalui tindakan undang-undang

Ahli Parlimen Larut itu juga menyifatkan perbuatan khianat oleh pihak tertentu yang membaling bom botol ke kediaman Ngeh sebagai tidak boleh diterima dan perlu diadili melalui tindakan undang-undang.

“Polis perlu segera memburu dalang sebenar di sebalik kejadian khianat itu kerana perbuatannya bukan sahaja bercanggah dengan undang-undang, tetapi juga mencabuli prinsip kehidupan bermasyarakat di negara ini yang sememangnya terkenal dengan suasana aman dan harmoni,” ujar Hamzah.

Rumah Ahli Parlimen Beruas terbakar pada awal pagi semalam

Terdahulu, negara dikejutkan dengan berita rumah Ngeh di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar terbakar pada awal pagi semalam (10 Januari) yang dipercayai akibat perbuatan khianat.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan, kebakaran yang turut memusnahkan tiga buah kenderaan itu dipercayai berpunca daripada ‘molotov cocktail’.

Baca Artikel Berkaitan: Rumah & 3 Kenderaan Ahli Parlimen DAP Terbakar, Ada Unsur Khianat

Ngeh maafkan pihak yang melontar ‘molotov cocktail’

Sementara itu, Ngeh juga pada hari yang sama dilaporkan telah memaafkan pihak yang melontar bom botol tersebut.

Ngeh mendakwa serangan tersebut berpunca daripada kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini berhubung cadangan supaya orang bukan Islam menganggotai Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkamah Syariah.

Pun begitu, beliau seolah-olah menuding jari apabila mendakwa PAS dan Besatu telah mengapi-apikan isu terbabit supaya orang membencinya.

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.