Tengku Muhammad Fakhry Petra Dilantik Tengku Mahkota Kelantan Yang Baharu?
Warta Kerajaan Kelantan bertarikh 11 Januari turut menjelaskan bahawa Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V perkenan penarikan balik gelaran tersebut dari Tengku Muhammad Fa-iz Petra.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan berkuatkuasa 4 Januari lalu.
Memetik Kosmo, ini berdasarkan satu Warta Kerajaan Kelantan bertarikh 11 Januari yang menyatakan pelantikan itu mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Merujuk kepada warta, Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Negeri Kelantan telah menghadiri satu mesyuarat pada 3.30 petang, 4 Januari di Bilik Mesyuarat Setiausaha Kerajaan Kelantan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan, bagi membincangkan perkara tersebut.
“Memenuhi kehendak Fasal (2) Perkara 27 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua), kami dengan ini bersetuju mengangkat sembah nasihat kehadapan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V untuk mengurniakan akan gelaran Tengku Mahkota Kelantan ke hadapan Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra, Tengku Bendahara Kelantan pada ketika ini.”
Warta Kerajaan Kelantan, 11 Januari 2023
Warta itu menjelaskan bahawa pelantikan tersebut menepati Perkara 30 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) memandangkan Tengku Muhammad Fakhry Petra merupakan putera kepada Almarhum Sultan Ismail Petra.
Gelaran Tengku Mahkota Kelantan Ditarik Dari Tengku Muhammad Fa-iz Petra
Dalam warta sama, baginda Sultan Muhamad turut perkenan penarikan balik gelaran Tengku Mahkota Kelantan yang sebelum ini dikurniakan kepada seorang lagi adindanya, Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Fa-iz Petra pada 18 Oktober 2010.
Penarikan tersebut dibuat berdasarkan kepada kuasa Baginda di bawah Fasal (2) Perkara 27 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) yang dibaca bersama dengan Seksyen 47 Akta Tafsiran 1948 dan 1967.
Di bawah seksyen ini, dinyatakan bahawa kuasa melantik adalah termasuk kuasa menarik balik pelantikan yang dibuat ke atas mana-mana individu.
“Where a power to make an appointment is conferred by any written law, the appointing authority shall also have power (subject to any limitations or qualifications which affect the power of appointment) to remove, suspend, reappoint or re-instate any person appointed in the exercise of the power.”
Seksyen 47, Akta Tafsiran 1948 dan 1967.