Costa Serena Tiba Di Malaysia, Tawar Pakej Pelayaran Mesra Muslim
Selain itu, inisiatif perintis ini juga bakal mempamerkan keunggulan Malaysia dalam industri pelayaran global selain dapat memenuhi keperluan khusus pasaran Islamik.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Syarikat perkapalan Costa Cruises dan Hwajing Travel & Tours (Hwajing) telah menjalinkan kerjasama untuk menjadikan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan pelayaran antarabangsa pertamanya di Malaysia.
Dalam majlis pelancaran media Costa Serena yang disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Foke hari ini (19 Januari), Costa Cruises dan Hwajing ingin menerokai potensi besar pasaran pelancongan Islamik yang belum diterokai.
Selain itu, inisiatif perintis ini juga bakal mempamerkan keunggulan Malaysia dalam industri pelayaran global selain dapat memenuhi keperluan khusus pasaran Islamik.
Costa Serena penuhi keperluan dan keutamaan penggembara Islam
Kedua-dua syarikat ini telah melaksanakan penyesuaian menyeluruh terhadap perkhidmatan dan tawarannya untuk memenuhi keperluan dan keutamaan khusus penggembara Islam. Ia adalah untuk memastikan pengalaman yang unik, mendalam dan inklusif untuk semua penumpang.
Menerusi satu kenyataan bersama, Costa Serena menjanjikan pengalaman pelayaran yang menurut mereka telah menggabungkan unsur-unsur riadah, amal, dan Halalan Toyyiban ke dalam ‘fabrik’ pelayaran.
Tidak hanya itu, para penumpang juga diberikan peluang untuk melibatkan diri dalam kuliah dan bengkel islamik sekaligus meningkatkan pengalaman pelayaran keseluruhan merangkumi aspek hubungan budaya dan rohani dengan lebih mendalam.
Costa Serena dapat Persijilan Halal
Difahamkan, Costa Serena juga sudah mendapat Persijilan Halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Menurut Anthony Loke, Persijilan Halal yang dimiliki Costa Serena dapat membantu menjadikan Malaysia sebagai mercu tanda untuk pengalaman pelayaran yang sensitif terhadap budaya dan keselesaan.
“Ini tidak hanya memenuhi keperluan lebih 40% penduduk Islam di Asia Tenggara, malahan juga menandakan lonjakan strategik meletakkan Malaysia sebagai hab global untuk pengalaman perjalanan yang inklusif.
“Usaha hasil jalinan kerjasama antara Costa Cruises dan Hwajing ini merupakan inisiatif perintis yang menjanjikan manfaat ekonomi dan faedah yang berkekalan untuk negara,” katanya.
Buka peluang kepada pelancong terokai kepelbagaian budaya di Malaysia
Tambahnya lagi, ini akan membuka lebih banyak peluang kepada pelancong untuk menerokai kepelbagaian budaya di Malaysia terutamanya di kawasan Lembah Klang.
“Ini bakal meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam penciptaan pekerjaan dalam industri pelayaran dan membuka peluang untuk sektor sokongan seperti penginapan, makanan, pengangkutan dan peruncitan,” katanya lagi.
Berpeluang menaiki Costa Serena sewaktu pelancaran media, kami boleh katakan kapal ini boleh menjanjikan pelayaran yang menakjubkan untuk anda dengan purata dua perjalanan seminggu.
Sebagai info, kapal Costa Serena ini memiliki panjang 290 meter dan berat sekitar 115,000 tan dapat menampung lebih 3,500 penumpang dalam satu masa.
Costa Cruises dan Hwajing menawarkan tiga atau empat hari pelayaran ke Pulau Pinang dan Phuket, Thailand dari Pelabuhan Klang.
Untuk maklumat lebih lanjut tentang pelayaran, sila klik di sini.