fbpx
Now Reading
Penumpang MYAirline Boleh Tuntut Bayaran Balik Tiket Jika Tarikh Perjalanan Telah Luput – Anthony Loke

Penumpang MYAirline Boleh Tuntut Bayaran Balik Tiket Jika Tarikh Perjalanan Telah Luput – Anthony Loke

Menurut Menteri Pengangkutan, berdasarkan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) 2016, penumpang yang terjejas perlu ditawarkan bayaran balik dalam tempoh 30 hari.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada 12 Oktober yang lalu, negara dikejutkan dengan pengumuman tergempar oleh syarikat penerbangan MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) berhubung penggantungan operasinya.

Pengumuman itu nyata mengejutkan ramai pihak terutama pekerja dan penumpang kerana tiada hebahan awal yang dibuat berhubung penggantungan operasi tersebut.

Malah, ramai berang dan kecewa khususnya pelanggan yang telah membeli tiket awal serta telah berada di lapangan terbang beberapa jam sebelum pengumuman dibuat.

Pelanggan Boleh Tuntut Bayaran Balik Tiket Jika Perjalanan Sudah Luput

Terbaharu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan pengguna yang terjejas akibat penggantungan operasi MyAirline boleh menuntut bayaran balik menerusi proses ‘charge back’ (caj balik) sekiranya tarikh perjalanan telah luput.

Menurut beliau, perkara itu disahkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) selepas mengadakan perbincangan bersama Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

“MAVCOM mengadakan perbincangan bersama pihak BNM berkenaan isu pembayaran balik kepada pelanggan yang terjejas dalam hal ini.

“BNM mengesahkan penumpang yang membeli tiket melalui kad kredit, kad debit dan debit (FPX) terus boleh menuntut pembayaran balik melalui proses ‘charge back’ (caj balik) sekiranya tarikh perjalanan sudah luput.

“Ia boleh dituntut dengan menghubungi MYAirline atau bank sendiri,” kata beliau.

Tambah Anthony, berdasarkan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) 2016, penumpang yang terjejas perlu ditawarkan bayaran balik dalam tempoh 30 hari.

Malah, mereka juga layak mendapat tuntutan penuh tiket yang telah dibayar termasuk cukai dan fi, bagi sebahagian atau mengikut bahagian perjalanan yang tergendala.

Pastikan Aduan Daripada Pengguna Terjejas Diselesaikan

Tegas Anthony lagi, Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi MAVCOM sedang memantau perkembangan semasa isu tersebut dan memberi jaminan bahawa aduan serta perkara yang dibangkitkan oleh penumpang terkesan akan diselesaikan sepenuhnya.

Berdasarkan data terkini, sebanyak 117,461 penumpang terjejas akibat penggantungan operasi syarikat penerbangan itu.

“Penumpang membeli tiket penerbangan bagi tujuh laluan domestik dan dua laluan antarabangsa iaitu Kuala Lumpur-Pulau Pinang, Kuala Lumpur-Kota Bharu, Kuala Lumpur-Langkawi, Kuala Lumpur-Kota Kinabalu, Kuala Lumpur-Tawau, Kuala Lumpur-Kuching, Kota Kinabalu-Tawau dan Kuala Lumpur-Suvarnabhumi (Bangkok) dan Kuala Lumpur-Don Mueang (Thailand).

“Jumlah harga tiket yang dijual sehingga Mac 2024 bernilai RM22,090,184 juta,” ujar beliau.

Penggantungan Sijil Bagi Membolehkan Audit Dijalankan

Pada masa yang sama, beliau mengulas mengenai tindakan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang menggantung Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) syarikat MYAirline mulai 16 Oktober yang lalu.

Menurut Anthony, penggantungan sijil tersebut bagi membolehkan audit keselamatan dilaksanakan dengan terperinci untuk menilai semula keupayaan syarikat terbabit.

Tambah beliau, MAVCOM mengambil tindakan berdasarkan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771) bagi menilai semula pemberian Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) kepada MyAirline.

“Ia termasuk mengenakan penalti kewangan sekiranya gagal mematuhi peruntukan perlindungan pengguna sebagaimana yang ditetapkan di bawah MACPC,” katanya.

Baca Artikel Berkaitan: MYAirline Perlu Bayar Semula Tiket Pengguna, Kata MAVCOM

Baca Artikel Berkaitan: “Tunggu Dari 4 Pagi” – MYAirline Gantung Operasi Penerbangan Secara Mengejut Buat Penumpang Berang

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.