fbpx
Now Reading
“Tunggu Dari 4 Pagi” – MYAirline Gantung Operasi Penerbangan Secara Mengejut Buat Penumpang Berang

“Tunggu Dari 4 Pagi” – MYAirline Gantung Operasi Penerbangan Secara Mengejut Buat Penumpang Berang

MYAirline hari ini (12 Oktober) telah mengumumkan penggantungan operasi penerbangan ekoran kekangan kewangan yang dihadapi selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Terkini, syarikat penerbangan MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa hari ini (12 Oktober).

Menerusi kenyataan media, MYAirline telah mengambil keputusan sedemikian ekoran masalah kewangan sehingga menyebabkan operasi perlu digantung selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal syarikat itu.


MYAirline Mohon Maaf Atas Penggantungan Operasi Akibat Kekangan Kewangan

Menurut Lembaga Pengarah MYAirline, pihak pengurusan amat kesal dan memohon maaf kerana terpaksa membuat keputusan itu yang bakal memberi kesan terhadap penumpang setia, pekerja dan rakan kongsi.

“Kami telah bekerja tanpa jemu untuk meneroka pelbagai perkongsian dan pilihan penjanaan modal bagi mengelakkan penggantungan ini. Malangnya, kekangan masa menyebabkan kami tiada alternatif selain mengambil keputusan tersebut,” jelasnya.


Minta Penumpang Tidak Ke Lapangan Terbang

Susulan itu, MYAirline turut menasihati penumpang yang terjejas supaya tidak ke lapangan terbang dan perlu mencari alternatif lain untuk menuju destinasi mereka.

Kepada pelanggan yang berdepan dengan kesulitan, anda diminta untuk menghubungi customercare@myairline.my dan pasukan sokongan MYAirline untuk bantuan lanjut.

Sumber: Instagram (@flymyairline)

Tambah MYAirline, Lembaga Pengarah, pemegang saham dan semua pihak terlibat di syarikat penerbangan akan bekerja tanpa jemu untuk menyambung semula operasi secepat mungkin tetapi buat masa ini syarikat berkenaan tidak dapat komited pada sebarang garis masa.

“Kami mengulangi permohonan maaf yang setulus-tulusnya atas sebarang kesulitan yang timbul daripada penggantungan ini,” tambah kenyataan tersebut.


Ramai Pelanggan Terjejas Luah Rasa Kecewa Kerana Tak Diberi Notis Awal

Menerusi ciapan di laman X (Twitter), ramai pengguna yang terjejas dilihat kecewa dengan pengumuman penggantungan operasi secara tiba-tiba oleh syarikat penerbangan tambang murah tersebut.

Menurut pengguna @puteriibalqiis, wanita ini telah menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak jam 4 pagi tadi.

Penerbangan dikatakan sepatutnya dijadualkan pada jam 7.30 pagi. Namun, selepas menunggu sehingga 5.40 pagi, dia mendakwa tiada seorang pekerja yang dilihat bertugas di kaunter MYAirline.

“Semua kosong? Penumpang semua tunggu macam orang bodoh tahu,” tambahnya.

Puteri juga berkata ramai lagi penumpang lain yang mengalami nasib sama di lapangan terbang itu.

“Beritahu awal-awal jangan aniaya orang macamni,” ujarnya.

Seorang pengguna Twitter kemudian turut tampil mendakwa kakaknya juga berdepan perkara sama.


MAVCOM Gesa MYAirline Bayar Ganti Rugi Kepada Pengguna Terjejas

Susulan kenyataan penggantungan operasi yang dikeluarkan oleh MYAirline, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah menyediakan talian dan saluran khusus untuk membantu pengguna terjejas oleh berita mengejut itu.

MAVCOM menggesa pengguna yang telah membuat tempahan dengan MYAirline untuk penerbangan pada 12 Oktober 2023 dan seterusnya, untuk menghubungi saluran aduan khusus syarikat penerbangan itu.

Berikut adalah saluran khusus oleh MAVCOM bagi membantu pelanggan terjejas membuat aduan. Antaranya:

  • Talian pengguna: +1800-18-6966 (Dalam Malaysia) atau +603-7651 2777 (Di Luar Malaysia)
  • E-mel: consumer@mavcom.my
  • Borang web aduan FlySmart: https://flysmart.my/make-a-complaint/
  • Aplikasi mudah alih FlySmart dari Google Play dan Apple App store untuk pengguna Android dan iOS.

Suruhanjaya dalam masa sama menegaskan bahawa MYAirline perlu bertanggungjawab untuk membayar ganti rugi kepada pengguna yang telah membeli tiket penerbangan.

“MAVCOM sedang menyiasat syarikat penerbangan itu berdasarkan semakan dalaman dan aduan yang diterima mengenai pembayaran berkanun syarikat penerbangan yang belum dibayar kepada pekerjanya,” kata pihak pengurusan MAVCOM.

Syarikat tersebut juga telah diarahkan oleh Suruhanjaya untuk menghentikan serta-merta penjualan dan tempahan penerbangan dari semua platform sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.