fbpx
Now Reading
Lelaki Goda Isteri Orang Boleh Kena Dakwa Di Sabah

Lelaki Goda Isteri Orang Boleh Kena Dakwa Di Sabah

Sabah juga mempunyai Undang-Undang Adat yang turut memperuntukkan hukuman terhadap lelaki memikat isteri orang.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Di Sabah, seorang lelaki yang beragama Islam boleh didakwa di mahkamah di bawah undang-undang syariah negeri berkenaan sekiranya menggoda isteri orang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah, Datuk  Mohd. Arifin Arif berkata, perkara terbabit terpakai sejak sekian lama melibatkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Sabah 1995.

Setakat ini tiada lagi laporan lelaki islam goda isteri orang lain di Sabah

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam Sabah itu bagaimanapun memaklumkan setakat ini tiada lagi laporan dibuat mengenai lelaki Islam di Sabah yang menggoda isteri orang.

“Terdapat peruntukan undang-undang yang mengawal perbuatan gangguan orang ketiga terhadap rumah tangga di dalam Islam termasuklah seksyen 36, seksyen 37 dan seksyen 38 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan.

“Berdasarkan kepada peruntukan undang-undang di negeri-negeri, kesalahan mengganggu rumah tangga orang terbahagi kepada tiga komponen iaitu memujuk lari perempuan bersuami, menghalang pasangan suami isteri untuk hidup bersama serta menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan.

“Namun ketiga-tiga peruntukan yang terdapat dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan ini tidak diperuntukkan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Sabah 1995. Kesemua kesalahan terbabit di Sabah dirangkumkan dalam satu seksyen ini sahaja,” katanya dipetik Kosmo.

Larikan atau sebab isteri orang lain tinggalkan rumah boleh dipenjara atau denda

Menurutnya, enakmen tersebut menyatakan sesiapa yang melarikan atau menyebabkan seseorang isteri orang lain meninggalkan rumah tangga yang ditentukan oleh suaminya adalah bersalah.

Jelasnya, jika disabitkan bersalah, lelaki Islam berkenaan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Berkongsi lanjut, Mohd Arifin turut menyatakan Sabah juga mempunyai Undang-Undang Adat yang turut memperuntukkan hukuman terhadap kesalahan sedemikian.

Untuk info, Undang-Undang Adat adalah di dalam Enakmen Mahkamah Anak Negeri (MAN)1992.

Denda di bawah Enakmen Mahkamah Anak Negeri Sabah lebih berat

Apa yang menariknya, denda yang dikenakan terhadap lelaki yang memikat isteri orang adalah lebih besar di bawah Enakmen MAN Sabah.

Denda yang dikenakan adalah tiga ekor ternakan dan jika tidak dipatuhi boleh dikenakan penjara 18 bulan atau denda sebanyak RM3,000, kata Mohd. Arifin.

dalam susunan kaedah-kaedah Mahkamah Anak Negeri (Undang-Undang Adat Anak Negeri 1995) itu, terdapat bahagian iv mengenai perkahwinan, pertunangan dan pikatan.

Selain kes memikat, Mahkamah Anak Negeri Sabah juga mempunyai bidang kuasa mengenai perkahwinan, pertunangan, pikatan dan pembatalan perkahwinan atau pemisahan kehakiman.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.