fbpx
Now Reading
Israel Beri Amaran Bakal Serang Rafah Menjelang Ramadan

Israel Beri Amaran Bakal Serang Rafah Menjelang Ramadan

Menurut Menteri Kabinet Perang Israel, Benny Gantz, serangan itu dilakukan sekirannya Hamas tidak mengembalikan tebusan rakyatnya menjelang bulan Puasa ini.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum umat Islam di seluruh dunia menyambut bulan Ramadan bagi tahun 2024 yang dijangka bermula pada 11 atau 12 Mac ini.

Pasti ramai yang sudah mula membuat persiapan seperti membeli barangan dapur untuk memasak juadah berbuka puasa selain melatih diri memperbanyakan amal ibadah.

Israel beri amaran serang Rafah menjelang bulan Ramadan

Namun lain pula situasi yang mungkin dihadapi oleh penduduk Palestin apabila Israel memberi amaran bahawa mereka tidak teragak-agak untuk menyerang bandar paling selatan Gaza, Rafah sekiranya pejuang Hamas tidak mengembalikan tebusan menjelang bulan Ramadan ini.

Memetik Sinar Harian, amaran itu diberikan oleh Menteri Kabinet Perang Israel, Benny Gantz pada perhimpunan pertubuhan Amerika-Yahudi di Baitulmaqdis pada Ahad lalu (18 Februari).

“Dunia mesti tahu dan pemimpin Hamas mesti tahu – jika menjelang Ramadan tebusan kami tiada di rumah, pertempuran akan berterusan ke kawasan Rafah.

“Kami akan berbuat demikian dalam cara yang diselaraskan, memudahkan pemindahan orang awam, dalam dialog dengan rakan Amerika dan Mesir kami, untuk meminimumkan korban awam,” katanya.

Israel percaya masih ada 101 tebusan rakyatnya di Gaza

Israel percaya setakat ini masih ada 130 tebusan rakyatnya di Gaza dengan jumlah 101 orang masih hidup manakala 29 orang yang lain telah mati susulan serangan pada 7 Oktober 2023 yang telah mengorbankan kira-kira 1,200 orang di Israel.

Manakala menurut kementerian kesihatan di enklaf pula, serangan rejim Zionis telah membunuh lebih 29,000 orang dan mencederakan 68,000 lagi di Gaza.

Kenyataan itu merupakan petunjuk paling jelas mengenai garis masa sekitar operasi ketenteraan Israel di bandar selatan Gaza di mana lebih sejuta penduduk Palestin kini sudah kehilangan tempat tinggal dan tempat berlindung berhampiran sempadan Mesir.

“Kepada mereka yang mengatakan harganya terlalu tinggi, saya katakan ini dengan jelas: Hamas mempunyai pilihan – mereka boleh menyerah diri, membebaskan tebusan dan rakyat Gaza akan dapat meraikan hari raya suci Ramadan,” katanya lagi.

Perkara sama turut dimaklumkan menerusi satu video yang dimuat naik di akaun X rasminya dengan mendakwa ia bertujuan untuk memastikan pembebasan tebusan dan gencatan senjata jangka panjang di Gaza.

Hamas tuntut tentera Israel berundur dari kawasan selatan Gaza

Difahamkan, Hamas sebelum ini menuntut pengunduran rejim Zionis secara beransur-ansur dari kawasan tersebut dan akhirnya menamatkan perang terbabit secara kekal.

Selain itu, Hamas juga meminta agar Israel membebaskan tahanan Palestin termasuk mereka yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup sebagai sebahagian daripada perjanjian tebusan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyifatkan cadangan Hamas sebagai tidak masuk akal.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.