fbpx
Now Reading
Lima Lelaki Didakwa Ugut Pelanggan McDonald’s Ditahan

Lima Lelaki Didakwa Ugut Pelanggan McDonald’s Ditahan

Menurut PDRM, suspek yang ditahan terdiri daripada pegawai bank, juru jual kereta, kontraktor, peniaga dan anggota tentera.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sebelum ini, tular beberapa video di media sosial memaparkan sekumpulan lelaki sedang berjalan menaiki kenderaan pacuan empat roda mengelilingi sebuah cawangan restoran makanan segera, McDonald’s di Sungai Isap, Kuantan.

Menerusi video yang tular itu, kelihatan kumpulan berkenaan mengelilingi restoran makanan segera tersebut sambil membawa bendera Palestin serta melaungkan kata-kata memboikot restoran terbabit.

Tindakan beberapa lelaki berkenaan kemudiannya mendapat perhatian pihak polis yang memaklumkan sedang mengesan suspek.

Polis tahan lima lelaki didakwa buat provokasi

Terbaharu, polis telah bertindak menahan lima lelaki selepas mereka didakwa membuat provokasi serta ugutan kepada pelanggan di restoran berkenaan.

Jelas Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, suspek yang ditahan di bilik Standby Detektif di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan berusia sekitar 27 hingga 43 tahun.

Beberapa barangan dirampas seperti kereta, bendera, telefon dan banyak lagi

Ujarnya lagi, suspek yang ditahan bekerja sebagai pegawai bank, juru jual kereta, kontraktor, peniaga dan anggota tentera. Kesemua suspek ditahan sekitar jam 3.30 petang pada 13 April lalu.

“Siasatan mendapati, dua daripada lima suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah.

“Kita juga telah merampas sebuah kereta jenis Honda Jazz, sebuah kereta jenis Mitsubishi Triton, sehelai bendera bersama batang pancing, satu unit telefon bimbit jenama Redmi dan motosikal Yamaha LC, topi keledar, sehelai baju berwarna putih seluar biru serta alat kawalan jauh,” jelasnya, lapor Sinar Harian.

Kata beliau lagi hasil rakaman percakapan, empat daripada suspek yang ditahan telah mengaku berada di tempat kejadian walau bagaimanapun tidak membuat apa-apa ugutan jenayah ke atas mangsa.

Menurutnya hanya seorang individu yang membuat ugutan jenayah kepada mangsa ketika insiden berlaku.

“Susulan itu, kesemua suspek ditahan reman sehingga Rabu (17 April) ini bagi siasatan lanjut.”

Memetik laporan Berita Harian, penahanan lima suspek itu ekoran daripada laporan polis yang dibuat oleh seorang lelaki berusia 40 tahun.

Difahamkan berlaku provokasi di antara suspek serta pengadu sehingga tercetus pertengakaran.

Pengadu dakwa salah seorang daripada suspek keluarkan kata-kata kesat

Terdahulu, Wan Mohd Zahari memaklumkan mangsa dipercayai berada di restoran makanan segera tersebut bersama keluarganya pada 12 April, jam 10.25 malam.

Mangsa yang juga seorang peniaga air balang telah melihat beberapa orang lelaki yang tak dikenali ketika itu sedang berkempen memboikot restoran makanan segera sebelum mereka bertindak memanggilnya.

“Apabila mangsa pergi kepada kumpulan lelaki tersebut, salah seorang daripada mereka telah mengeluarkan kata-kata kesat kepada pengadu dan melakukan provokasi.

“Mangsa cuba menghindari mereka dengan masuk kembali ke dalam premis McDonald’s namun selepas keluar untuk pulang ke rumah, kumpulan lelaki itu sekali lagi melakukan provokasi terhadap pengadu.

“Ketika pengadu hampiri kumpulan lelaki berkenaan, salah seorang daripadanya capai topi keledar lalu diberi kepada kawannya dan lelaki itu ugut akan pukul mangsa namun, situasi itu dileraikan isteri mangsa,” ujar beliau lagi.

Mangsa kemudiannya tampil ke balai polis untuk membuat laporan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.