fbpx
Now Reading
Tidak Boleh Tolak Permohonan Pasport Jika Tak Fasih Bahasa Melayu – KP Imigresen

Tidak Boleh Tolak Permohonan Pasport Jika Tak Fasih Bahasa Melayu – KP Imigresen

Namun menurut Ruslin Jusoh, pegawai imigresen akan melaksanakan semakan rawak dari pelbagai aspek bagi mengesahkan permohonan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menegaskan bahawa pegawainya tidak dibenarkan untuk menolak sebarang permohonan pasport hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan yakni Bahasa Melayu.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh dalam satu kenyataan bagaimanapun menjelaskan pegawai imigresen akan melaksanakan semakan rawak dari pelbagai aspek bagi mengesahkan permohonan.

Semakan bagaimanapun perlu dilakukan secara profesional dan berhemah.

Kenyataan ini dikeluarkan susulan keluhan seorang lelaki yang mendakwa ibunya tidak dibenarkan untuk membaharui pasport di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pulau Pinang kerana tidak boleh berbahasa Melayu.

Sudah berjaya dapatkan pasport baharu pada 24 April

Tambah Ruslin, pihaknya mengambil maklum berhubung laporan media mengenai isu berkenaan.

Namun warga emas berkenaan sudah pun berjaya memperbaharui dan mengambil pasportnya pada Isnin, 24 April di UTC Pulau Pinang.

“JIM komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan sentiasa mengingatkan semua pegawai untuk menyantuni pelanggan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Jabatan,” katanya dalam kenyataan itu lagi.

Lelaki dakwa ibu tidak perbaharui pasport kerana tidak fasih bahasa Melayu

Terdahulu tular kisah seorang kakitangan UTC yang tidak membenarkan seorang wanita warga emas memperbaharui pasportnya kerana gagal menguasai bahasa kebangsaan.

Bagaimanapun suami kepada wanita berkenaan tidak menghadapi sebarang masalah untuk melakukannya. Kecewa dengan perkara itu, anaknya tampil meluahkan kekecewaan di Facebook.

Menurut lelaki berkenaan, dia sudah menerangkan kepada pegawai berkenaan bahawa pertuturan ibunya dalam bahasa kebangsaan adalah terhad kerana tidak bersekolah.

Namun alasan tersebut tidak diterima oleh kakitangan UTC yang terletak di Komtar itu dan memintanya untuk datang semula dan bertemu dengan pegawai atasan pada keesokan harinya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.