fbpx
Now Reading
Warganegara Malaysia Wajib Kuasai & Fasih Bahasa Melayu – Saifuddin

Warganegara Malaysia Wajib Kuasai & Fasih Bahasa Melayu – Saifuddin

Kajian KDN mendapati negara maju seperti Singapura dan United Kingdom (UK) menetapkan syarat perlu menguasai bahasa tempatan bagi permohonan kewarganegaraan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum mengetahui dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi dan kebangsaan di Malaysia.

Namun, bahasa lain antaranya seperti bahasa Mandarin dan Tamil bebas diguna dan diamalkan di negara ini.

Walau bagaimanapun, terdapat segelintir warganegara Malaysia pada masa kini yang tidak fasih berbahasa Melayu dan menjadikan bahasa asing seperti bahasa Inggeris sebagai bahasa utama.

Warganegara Perlu Kuasai & Fasih Berbahasa Melayu

Menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, semua warganegara Malaysia wajib menguasai dan fasih bertutur bahasa Melayu.

Ia penting bagi tujuan untuk mengelakkan daripada timbulnya syak wasangka terutama ketika urusan memperbaharui pasport dan memohon kewarganegaraan.

Tegas beliau lagi, setiap rakyat wajib menguasai bahasa Melayu kerana ia sememangnya sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam Perlembagaan Negara bahasa Melayu itu bahasa rasmi, bahasa lain bebas dipelajari dan digunakan, jadi asasnya di situ.

“Kewajipan seseorang warganegara untuk kuasai bahasa Melayu itu, tak boleh kita kompromi sebab itu perlu faham bahasa (Melayu) supaya tidak timbul syak wasangka.

“Sebagai contoh sebelum ini pernah berlaku syak wasangka terhadap seorang individu kerana mirip muka tidak me­nyamai ibu bapanya.

“Selepas siasatan berlaku pemalsuan dokumen bagi mendapatkan kad pengenalan diri,” kata beliau.

Beliau menjelaskan perkara sedemikian selepas tular insiden seorang wanita yang mendakwa diherdik oleh pegawai Jabatan Imigresen Malaysia di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Johor baru-baru ini.

Kuasai Bahasa Tempatan Merupakan Antara Syarat Bagi Mendapatkan Kewarganegaraan

Tambah Saifuddin lagi, ketika Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan kajian warganegara, pihaknya mendapati keperluan menguasai bahasa tempatan menjadi syarat (kewarganegaraan) buat beberapa negara maju di dunia seperti Singapura dan United Kingdom (UK).

Namun di sana, sekiranya seseorang itu tidak boleh memahami bahasa tempatan maka dia tidak layak untuk mendapat kewarganegaraan.

Tegas beliau, penganugerahan kewarganegaraan kepada individu bukan warganegara merupakan anugerah tertinggi dan ia merupakan hak eksklusif kerajaan Persekutuan yang tidak ditawar dan diberikan dengan mudah.

Untuk rekod, sehingga September yang lalu, sebanyak 9,539 permohonan kewarganegaraan telah dipertimbangkan KDN.

Terdahulu, tular di media sosial seorang wanita yang berkongsi pengalaman pahit ketika mahu memperbaharui pasport di di Jabatan Imigresen UTC, Johor.

Menerusi hantaran yang dibuat, dia mendakwa diherdik oleh seorang kakitangan lelaki kerana tidak fasih berbahasa Melayu ketika memperbaharui pasport anak perempuannya.

Baca Artikel Berkaitan: Ramai Warga Emas Gagal Dapat Kewarganegaraan Kerana Tak Lulus Ujian Bahasa Melayu

Baca Artikel Berkaitan: “Surat Rasmi Kepada Kerajaan Perlu Guna Bahasa Kebangsaan” – Anwar Ibrahim

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.