fbpx
Now Reading
Kecoh KK Mart Jual Stoking Tertera Kalimah Allah, KDN Lancarkan Siasatan Ke Atas Vendor

Kecoh KK Mart Jual Stoking Tertera Kalimah Allah, KDN Lancarkan Siasatan Ke Atas Vendor

Hasil pemeriksaan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendapati KK Super Mart telah menarik balik penjualan stoking berkenaan di semua cawangannya di seluruh negara.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Minggu lepas kecoh mengenai kedai serbaneka KK Super Mart menjual stoking yang tertera kalimah suci Allah padanya.

Isu tersebut telah dibangkitkan oleh pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung yang menemui stoking tersebut dijual di satu cawangan kedai terbabit di Bandar Sunway.

Sehubungan dengan itu, kedai serbaneka itu telah membuat permohonan maaf dan memberhentikan penjualan produk terbabit dengan segera.

Baca Artikel Berkaitan: KK Super Mart Mohon Maaf Isu Jual Stokin Kalimah Allah Di Cawangan Bandar Sunway

Hari ini (18 Mac) media melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneruskan siasatan ke atas isu tersebut meskipun pihak KK Super Mart dan vendor pembekal stoking itu telah membuat permohonan maaf.

Menurut Timbalan Menteri KDN, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, ia dilakukan dengan tujuan untuk menangani isu terbabit yang telah menyebabkan kekecohan dan kegusaran dalam masyarakat awam.

KDN Sahkan Penjualan Produk Telah Ditarik Balik Dari Semua Cawangan KK Mart

Berikutan pemeriksaan oleh pihaknya, Shamsul Anuar mengesahkan bahawa kesemua cawangan KK Super Mart di seluruh negara telah menarik balik produk tersebut daripada pasarannya.

“KDN memandang serius isu ini dan tindakan penguatkuasaan diambil dengan melaksanakan (pemeriksaan) di semua premis KK Mart di seluruh negara. Hasil pemeriksaan yang kita buat, didapati KK Mart sudah menarik balik semua stoking berkenaan di semua cawangannya di seluruh negara.”

Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Dalam masa sama, siasatan lanjut dilakukan terhadap pengurusan dan vendor-vendor terbabit agar tiada lagi stoking dengan kalimah Allah itu dijual di pasaran dalam negara, katanya lapor Harian Metro.

Maklum balas itu diberikannya di Dewan Rakyat setelah menerima soalan daripada Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah mengenai tindakan yang akan diambil oleh KDN bagi memastikan isu penjualan stoking itu tidak berterusan.

Polis Terima 36 Laporan Tentang Penjualan Stoking

Di samping itu, Shamsul Anuar memaklumkan bahawa pihak polis telah menerima 36 laporan berkaitan isu tersebut dan satu kertas siasatan telah dibuka.

Menjawab soalan dikemuka Mohd Shahar, dia berkata pihaknya akan membentangkan pindaan ke atas Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 pada tahun ini.

“KDN dalam tindakan untuk meminda akta ini bagi memastikan ia memenuhi keperluan dan kehendak semasa, terutama sekali berkaitan dengan jenayah dalam talian dan sebagainya.”

Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

KDN telah mengadakan sebuah sesi libat urus dengan pelbagai pihak bagi tujuan pindaan akta tersebut pada 11 Mac lalu, katanya.

Polis Siasat Dakwaan Stoking Dihasilkan Di Batu Pahat

Dalam satu perkembangan lain, pihak polis juga telah melakukan siasatan ke atas dakwaan yang mengatakan stoking tersebut dihasilkan di sebuah kilang di Batu Pahat, Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid memaklumkan bahawa pihaknya mempercayai pihak polis akan menjalankan tugas dengan seadilnya, lapor Kosmo.

Beliau telah menghubungi Ketua Polis Daerah Batu Pahat yang mengesahkan bahawa tindakan awal telah diambil, maklumnya ketika ditemui selepas Majlis Pengisytiharan Keputusan Peperiksaan Sijil Menengah Rendah Agama (SMA) di Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor hari ini (18 Mac).

“Kita percaya bahawa polis akan melaksanakan tugas mereka, dan saya berharap agar semua orang Islam bersabar.”

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid.

Baca Artikel Berkaitan: Isu Kalimah Allah Di Stoking Bukan Perkara Remeh, Harap Jadi Pengajaran Buat Semua – Menteri Agama

Baca Artikel Berkaitan: “Mu Siapa Nak Jadi Wakil Maafkan Dia?” – Peniaga Jual Stoking Kalimah Allah Patut Dihukum, Kata UAI [Video]

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.