Isu Stoking Kalimah Allah, KK Mart Saman Syarikat Pembekal Lebih RM32 Juta
Menurut KK Mart, tindakan syarikat pembekal itu adalah sengaja untuk merosakkan nama baik dan reputasinya dalam dunia perniagaan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Semalam (25 Mac), KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart) memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd dan pengarahnya yang membekalkan stoking tertera kalimah Allah di kedainya.
Dalam saman yang difailkan kerana pelanggaran kontrak, sabotaj dan kecuaian itu, KK Mart selaku plaintif menamakan pengarah Xin Jian, Soh Chin Huat sebagai defendan pertama dan syarikat itu sebagai defendan kedua.
KK Mart setuju permintaan pembekal untuk jual barang konsainan mengikut kontrak
Dalam tuntutannya, KK Mart mendakwa berdasarkan kontrak (Perjanjian Pembekalan) bertarikh 1 Disember 2021 antara KK Mart dan Xin Jian yang disaksikan Chin Huat, ia bersetuju dengan permintaan defendan untuk menjual barang konsainan di kedainya.
Menurut KK Mart, dalam perjanjian itu barang terbabit akan diletakkan oleh defendan di premisnya tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan di dalamnya.
Pembekal wajib patuhi terma kontrak mengikut Akta Jualan Barang 1987 (Akta 382)
KK Mart berkata, dalam kontrak itu, defendan mempunyai kawajipan undang-undang bagi menyediakan standard penjagaan yang munasabah untuk memastikan barang yang dibekalkan adalah mengikut terma kontrak dan ia juga sah di bawah Akta Jualan Barang 1957 (Akta 382).
Ujarnya lagi, pada 5 Februari lalu, syarikat itu memohon membekalkan dan ia bersetuju supaya sarung tangan (arm cover) dijual sebagai asas konsainan untuk diletakkan bagi jualan di bawah kontrak.
“Berdasarkan penerangan yang diberikan defendan kedua secara bertulis, plaintif dengan suci hati membenarkan defendan kedua meletakkan barang yang dinyatakan di premis plaintif.
“Tiada pada bila-bila masa plaintif memberikan kebenaran konsainan ini dengan kod bar yang sepadan untuk digunakan sebagai paparan atau penjualan stoking kaki dalam apa jua bentuk.
“Defendan secara cuai atau melulu menjual stoking yang mengandungi kalimah ‘Allah’ tanpa pengetahuan atau persetujuan plaintif di premis Plaintif di Bandar Sunway yang bertentangan dengan undang-undang,” katanya dipetik Berita Harian.
Pembekal tidak maklumkan dan beritahu, kod bar digunakan untuk jual stoking kalimah Allah
Plaintif berkata, defendan tidak pernah sama sekali memaklumkan atau memberitahunya bahawa kod bar yang digunakan untuk dijual di kedainya adalah stoking kalimah Allah.
Jelas KK Mart, sekiranya tahu akan perkara itu, pastinya mereka tidak akan membenarkan barangan itu dijual kerana ia melanggar kontrak dan undang-undang.
KK Mart turut menyatakan Xin Jian secara cuai membenarkan stoking itu diletakkan di salah sebuah cawangannya di Bandar Sunway yang seterusnya mencetuskan kontroversi sehingga menyebabkan kerugian kepadanya.
KK Mart dakwa pembekal sengaja rosakan nama baik dan reputasinya
Katanya, tindakan dilakukan dengan sengaja bagi merosakkan nama baik dan reputasi plaintif dalam dunia perniagaan serta bagi memastikan usaha KK Mart untuk menyenaraikan syarikat itu dalam Tawaran Awam Permulaan (IPO).
Dakwa KK Mart lagi, tindakan berkenaan telah mensabotaj perniagaannya dan mendedahkan mereka kepada kebencian, boikot dan ugutan sehingga terpaksa menanggung kerugian.
KK Mart saman lebih RM32 juta terhadap syarikat pembekal dan pengarahnya
Susulan itu, KK Mart menuntut rugi RM1.5 juta setiap minggu sehingga tarikh penghakiman berikutan kehilangan keuntungan daripada purata perniagaannya dan ganti rugi kerosakan nama jenama berjumlah RM10.5 juta.
KK Mart juga menuntut RM20.3 juta bagi pembatalan cadangan penyenaraian IPO di Bursa Malaysia, ganti rugi teruk dan teladan yang akan ditaksirkan kemudian dan kos lain.
Baca Artikel Berkaitan: Isu Stoking Tertera Kalimah Allah: JAKIM Bagi Amaran Keras Pada KK Mart
Baca Artikel Berkaitan: