Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!
Follow Kami
Umum pasti mengetahui salah satu syarat untuk memohon kewarganegaraan Malaysia adalah perlu mempunyai pengetahuan dan lulus ujian penguasaan Bahasa Melayu.
Namun siapa sangka syarat ini antara punca mengapa ramai warga emas gagal memperoleh taraf kewarganegaraan di negara kita.
Perkara itu didedahkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat semalam (23 Oktober).
“Penguasaan bahasa di negara luar ‘best practices‘ kita teliti. Mereka menghendaki untuk memohon warganegara boleh berbahasa rasmi negara berkenaan. Ini kebanyakannya.
“(Di Malaysia) markah tak lulus satu, (manakala) markah lulus lapan (dan) ada ratingnya (kadarnya). Sekarang ini yang dua pun kadang-kadang saya luluskan.
“Dua ini bermakna ‘terima kasih’, dia jawab ‘sama-sama.’ Itu pun lulus. ‘Apa khabar’, dia jawab ‘khabar baik’ (pun lulus). Kita turunkan kayu ukur sampai ke situ.”
Terlalu fasih bahasa asing & gagal berbahasa Melayu
Tambah Saifuddin lagi, ada warga emas yang terlalu fasih dengan bahasa asing sehinggakan tidak mampu langsung untuk berbahasa Melayu.
Situasi ini antara kekangan yang dihadapi kerajaan bagi meluluskan permohonan mereka.
Beliau dalam masa sama turut menafikan dakwaan terdapat sejuta penduduk Sabah tidak mempunyai dokumen sah sebagai warganegara seperti yang dinyatakan oleh Lo Su Fui (GRS-Tawau).
Terdahulu Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng mengemukakan soalan mengenai permohonan warganegara golongan warga emas yang tidak diluluskan, selain mengambil masa lama untuk proses kelulusan.