Ini 7 Perkara Bakal Pengantin Perempuan Perlu Elakkan Sebelum Majlis Persandingan
Antara perkara yang perlu dielakkan sebelum bergelar raja sehari adalah menukar skincare atau membuat rawatan muka dalam tempoh tiga minggu sebelum majlis berlangsung.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Menjadi raja sehari atau pengantin merupakan antara momen yang sering dinantikan oleh pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga.
Bagi memastikan ia berjalan dengan sempurna dan menepati impian bakal pengantin akan merancang dengan teliti setiap satu-satu perkara.
Walau bagaimanapun, tidak dinafikan dalam melakukan persediaan banyak perkara yang yang perlu dielakkan agar majlis perkahwinan itu menjadi lancar seperti yang dimahukan.
Perkara ini turut dikongsikan oleh @twtmalaywedding di Twitter yang berkongsi beberapa perkara perlu dielakkan bagi pengantin wanita sebelum bergelar raja sehari.
Tanpa berlengah lagi jom kami kongsikan kepada anda.
#1 Tukar pencuci muka dan buat rawatan di muka
Di hari bersejarah itu pasti kita ingin kelihatan cantik dengan make-up yang menampakkan keaslian wajah.
Oleh itu, sebagai persediaan anda tidak digalakkan untuk menukar pencuci muka atau skincare yang biasa digunakan enam bulan sebelum majlis.
Ini kerana, penukaran kepada jenama atau penjagaan yang berbeza mungkin boleh menyebabkan berlaku perubahan pada kulit wajah, contohnya timbul jerawat atau masalah kulit terlalu kering dan sebagainya.
Jadi tahan diri dahulu ya, selesai majlis barulah anda tukar kepada rutin penjagaan kulit atau pencuci lain.
Selain itu, elakkan diri daripada membuat rawatan muka dalam tempoh 3 minggu atau satu bulan sebelum majlis.
Kerana ia juga boleh menyebabkan kulit wajah berubah selain boleh menyebabkan make-up tidak berkekalan lama ketika ditatahias oleh Make-Up Artist (MUA).
Jika ingin melakukan rawatan, sebaiknya untuk mula tiga atau empat bulan sebelum majlis.
#2 Senaraikan tarikh dan waktu
Apabila waktu ingin bergelar sehari pastinya akan membuatkan anda tidak cukup tangan untuk mengendalikan semua perkara atau menginggati semuanya.
Jadi bagi membantu memudahkan kerja dan menjadi lancar, kami sarankan untuk anda membuat senarai tarikh, waktu serta maklumat berkaitan pelamin, cenderahati, MUA, dan sebagainya.
Melalui senarai ini ia mudah untuk anda serta individu yang bertanggungjawab untuk membuat rujukan. Jadi tidaklah anda akan fikirkan segala-galanya seorang diri.
Selain anda orang lain juga boleh hubungi pihak berkaitan untuk membuat pemeriksaan atau pantauan.
Dalam senarai tersebut tuliskan juga info pembayaran supaya ia mudah dilihat. Jadi anda juga boleh siap sedia jika ada yang meminta bayaran seperti perjanjian yang dipersetujui.
#3 Pemilihan anak tudung
Pemilihan anak tudung merupakan suatu perkara yang sangat penting bagi menaikkan lagi seri pengantin ketika mengenakan busana.
Ramai yang melakukan kesilapan apabila hanya tangkap muat sahaja jenis warna atau teksture kain yang ingin dibeli dengan beranggapan ‘asal ada’.
Sebenarnya pemilihan anak tudung terutama warna yang tidak bersesuaian boleh mengubah keserian sesebuah busana dan ia mungkin akan menyebabkan anda kelihatan sedikit janggal.
#4 Tak Scrub tangan
Mungkin ada yang tidak memandang serius perkara ini, tapi apabila berkahwin sesi memakai inai merupakan antara yang paling menarik dalam persiapan berkahwin.
Jadi untuk mendapatkan inai yang cantik, anda dinasihatkan untuk scrub tangan dan juga kaki beberapa jam sebelum sesi inai bermula.
Ini bertujuan untuk menanggalkan sel-sel kulit mati agar tangan yang dihiasi dengan inai itu kelihatan lebih cantik dan lembut.
#5 Tak makan sebelum sesi wajah disolek & pemakaian baju bersesuaian
Sebelum MUA hadir untuk menghiasi wajah anda dengan solekkan yang cantik, pastikan diri makan terlebih dahulu. Ini kerana, apabila sudah siap disolek kita tentu tidak mahu solekan menjadi comot disebabkan makanan.
Jadi anda disarankan untuk makan dengan kenyang sebelum sesi solekan bermula.
Selain itu pemakaian bersesuaian ketika solek adalah penting. Elakkan diri daripada memakai baju t-shirt dan pakai pakaian yang mudah untuk dibuka seperti kemeja atau jubah mandi (bath robe).
Pemakaian kemeja atau bath robe akan memudahkan anda untuk menukar busana apabila wajah sudah selesai disolek kerana jika memakai baju t-shirt solekan and mempunyai risiko yang tinggi untuk rosak kerana melekat pada baju ketika ia ingin ditanggalkan.
Jika anda ingin memakai bengkung, pastikan anda pakai dahulu sebelum sesi solekan.
#6 Tidak berlatih memakai kanta sentuh terlebih dahulu
Jika anda pertama kali ingin memakai kanta sentuh, kami sarankan untuk praktis terlebih dahulu.
Ini kerana proses ketika ingin memasukkan kanta sentuh ke dalam mata mungkin akan membuatkan anda takut atau tidak selesa untuk permulaan.
Oleh itu, adalah baik untuk anda mempraktikannya terlebih dahulu agar mudah untuk dimasukkan ke dalam mata.
#7 Pencahayaan dan suhu bilik
Pencahayaan ketika sesi solekan adalah penting. Jika boleh cuba dapatkan satu sudut yang boleh memberikan pencahayaan matahari yang baik.
Selain itu, pastikan bilik anda berada pada suhu yang sejuk agar lebih selesa dan tidak berpeluh ketika bersolek.
Malah sebelum sesi solekan bermula tuam dahulu muka dengan menggunakan ais. Perkara ini bertujuan untuk mengecilkan liang pori selain berfungsi untuk solekan bertahan lebih lama.
Anda juga boleh bertanya beberapa tips pada MUA, kerana mereka ini lebih mengetahui apa yang perlu dilakukan untuk mendapatkan solekan yang lebih cantik. Jujur sahaja beritahu keadaan kulit anda agar make-up yang bersesuaian boleh digunakan.
Semoga tips yang dikongsikan ini dapat dimanfaatkan oleh bakal pengantin di luar sana. Yelah kahwin ini sekali sahaja seumur hidup, tentulah kita inginkan yang terbaik.
Usah musnahkan impian anda untuk kelihatan cantik disebabkan tidak mengendahkan beberapa perkara. Nampak kecil namun boleh memberi impak yang besar pada majlis anda.