fbpx
Now Reading
MP Kerajaan & Pembangkang Senada Mahu Moratorium Dilanjutkan

MP Kerajaan & Pembangkang Senada Mahu Moratorium Dilanjutkan

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Dewan rakyat hari ini (10 Nov) mencuri tumpuan apabila beberapa ahli parlimen (MP) baik dari blok kerajaan mahupun pembangkang dilihat senada dan bersetuju mengenai cadangan pelanjutan moratorium sehingga Jun 2021 dimasukkan dalam Belanjawan 2021 (Bajet 2021).

Semua ini jelas mereka adalah sebagai satu usaha dalam membantu rakyat berdepan dengan impak Covid-19.

Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) sewaktu perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021, mencadangkan sebaik sahaja moratorium tamat dalam tempoh enam bulan, mereka yang mempunyai pinjaman RM500,000 dan ke bawah diberi penangguhan automatik untuk tiga hingga enam bulan lagi sekiranya virus maut tersebut belum pulih.

“Dengan itu, pinjaman berjumlah besar dan banyak oleh T20, dan syarikat besar dengan tersendiri terkecuali kerana keupayaan mereka dan pada masa sama kita boleh terus membantu rakyat memerlukan.

“Angka RM500,000 itu boleh diubah mengikut lebih sesuai berdasarkan jumlah paling ramai rakyat boleh dibantu,” katanya.

Ahmad Maslan turut mencadangkan agar inisiatif pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada Akaun 1 secara bersasar, diubah dan dipendekkan tempohnya ke 4 bulan berbanding 6 bulan namun jumlahnya dinaikkan dari RM500 sebulan kepada RM1,500 sebulan.

Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) turut dilihat senada apabila mencadangkan agar kerajaan membantu kelompok peniaga sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat wabak itu.

“Moratorium kita setuju supaya dilanjutkan pada Jun akan datang kerana mereka menghadapi masalah begitu besar. Begitu juga syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana, mereka tak mampu bayar gaji pekerja.

“(Jadi) Kerajaan harus memberi bantuan kepada pekerja itu sekurang-kurangnya RM1,200 sebulan untuk terus hidup sehingga selesai masalah pandemik (Covid-19),” katanya.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.