Terkenal Sebagai Penyanyi Lagu Raya Pertama Di Nusantara, Ini Kisah Ringkas Miss Aminah
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadan, hari ini seluruh umat islam di Malaysia dan banyak negara di dunia secara amnya mula menyambut perayaan Aidilfitri.
Sambutannya meskipun secara sederahana disebabkan seluruh negara sedang menjalani PKP dalam menangani wabak Covid-19, kemeriahannya tetap terasa terutamanya di kalangan anak kecil.
Malah kehadiran lagu-lagu raya baru antaranya lagu Selamat Hari Raya nyanyian kumpulan trio, Kopratasa yang dilancarkan pada 5 Mei 2021 yang lalu membuktikan 1 Syawal tetap diraikan.
Namun di sebalik pelancaran lagu ini, tahukah anda bahawa ia sebenarnya adalah lagu versi ‘remake’ atau diberi nafas baru dari lagu raya pertama di Malaysia (waktu itu Tanah Melayu) dan di Nusantara.
Dihasilkan pada tahun 1936
Difahamkan lagu raya klasik yang dihasilkan pada tahun 1936 ini telah dicipta oleh Tengku Alibasha atau dikenali sebagai Che Ara Bangsawan di bawah label H.M.V Malay Records.
Lagu ini pula dinyanyikan oleh seorang penyanyi bangsawan, Allahyarhamah Aminah Raden Nani atau lebih dikenali sebagai Miss Aminah.
Siapa Miss Aminah?
Miss Aminah lahir pada 19 Januari 1919 dan merupakan primadona Sri Panggung Bangsawan.
Bapanya Raden Nani adalah seorang penggiat Bangsawan manakala ibunya bernama Catherine De Bress atau nama islamnya Fatimah Abdullah.
Bergiat dalam dunia bangsawan seawal 5 tahun
Mula menceburkan diri dalam dunia seni bangsawan seawal usia 5 tahun, Miss Aminah kemudiannya menyinar pada tahun 1942 sewaktu berusia 23 tahun sehingga mendapat gelaran Sri Panggung Bangsawan.
Dari situ, anak kelahiran Singapura ini kemudiannya terus bergerak aktif dalam bidang seni di Malaya sebelum menetap di Pulau Pinang dengan menjadi tenaga pengajar kepada pelajar dan kakitangan USM dalam seni bangsawan. Selain itu beliau juga banyak mengajar dan menjadi penasihat seni bangsawan di serata Malaya.
Pernah melatih ramai golongan pelapis bangsawan
Selepas hampir berpuluh tahun bergelumang sebagai anak wayang dan melatih golongan pelapis bangsawan, Miss Aminah yang pernah mendapat pengiktirafan sebagai Tokoh Bangsawan dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Pulau Pinang akhirnya meninggal dunia pada 6 November 2000 selepas diserang angin ahmar.
Kisah beliau sedikit sebanyak dikongsikan pemilik Facebook Wadah Seni Entertainment menerusi satu posting beberapa tahun yang lalu dan turut dibukukan oleh seorang penyelidik dan pengkaji budaya, Noraza Hj Abdul Aziz di bawah Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan Malaysia pada tahun 2003 dengan tajuk “Biografi primadona bangsawan Aminah Nani”
Mula diketahui umum selepas dikongsikan komposer Yusnor Ef
Berbalik kepada lagu Selamat Hari Raya, meskipun ia pada mulanya kurang diketahui oleh masyaratkat masa kini, kisahnya mula diperkatakan orang ramai selepas didedahkan oleh seorang komposer dan penulis lirik veteran, Yusnor Ef atau nama sebenarnya Mohd Nor bin Mohd. Yusofe menerusi satu temuramah bersama akhbar Singapura MediaCorp beberapa tahun yang lalu.
Yusnor Ef juga bukanlah calang-calang komposer/penulis lirik, sebaliknya beliau sudah mula dikenali dan hidup sezaman dengan komposer Kassim Masdor, pencipta lagu Bahtera Merdeka nyanyian Ahmad Jais/Aishah.
Malah beliau juga banyak bergading bahu dengan Kassim Masdor dengan menjadi penulis lirik untuk beberapa lagu raya popular antaranya : Suasana Riang (Di Hari Raya) oleh Junainah M.Amin, & Bersabarlah Sayang (Sanisah Huri) pada tahun 1972.
Selain itu beliau juga pernah bergandingan dengan Zubir Said dalam menghasilkan lagu raya Aifiltiri yang juga nyanyian Sanisah Huri.