Ustaz Ebit Lew Tubuh Rumah Kasih Umat, Sedia Tempat Tinggal Untuk Anak Yatim & Asnaf Di Gaza
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Seperti umum sedia maklum, pendakwah terkenal Ustaz Ebit Lew kini berada di Gaza, Palestin untuk meneruskan misi kemanusiaan di negara itu.
Menerusi perkongsiannya di Facebook, dia telah menyediakan dua biji rumah sebagai Rumah Kasih Umat untuk anak yatim dan juga golongan asnaf.
“Sebak sayu sangat rasa. Saya sewa dua biji rumah untuk dijadikan rumah kasih umat ada empat bilik luas dan selesa. Setakat ini akan menjaga 10 anak yatim dan mereka yang susah untuk dijadikan tempat tinggal dan kelas-kelas aktiviti anak-anak.
“Menangis melihat anak-anak ini. Kecil lagi setiap hari hidup dengan peperangan. Saya tidur malam disini terfikir risau juga. Inikan pula anak-anak ini sepanjang hidup melalui hidup diuji begini.”
Ziarah ibu tunggal kehilangan suami
Ujarnya lagi, dia telah menziarahi seorang ibu tunggal dengan tujuh orang anak yang masih kecil. Wanita itu difahamkan telah kehilangan suaminya menerusi serangan bom.
Walaupun pahit untuk menelan kenyataan, namun anak-anak kecil ini tetap menyambutnya dengan senyuman meski masih terasa dengan kehilangan ayah yang tersayang.
Bakal menggajikan cikgu di Rumah Kasih Umat
Menurut pemilik perusahaan Elews Mart ini, dia telah membawa mereka sekeluarga ke Rumah Kasih Umat dan sedikit sumbangan turut diberikan. Dia juga berbesar hati menggajikan cikgu untuk menguruskan segala keperluan di rumah itu.
“Saya bawa terus ke keluarga ini ke rumah kasih umat dan berikan sedikit sumbangan untuk mereka. Dan semua ibu tunggal yang lain. InsyaAllah ada cikgu yang menjaga dan menguruskan tempat ini. Kami akan bayar gajinya.”
Menerusi ruang komen, ramai netizen meluahkan rasa sebak dengan perkongsian yang dimuat naik Ustaz Ebit. Ada juga yang mengucapkan rasa kesyukuran dan juga berbangga dengan bantuan yang telah disediakan olehnya.