fbpx
Now Reading
TM Sertai Konsortium Bina Kabel Dasar Laut Baru Dengan Kelajuan Melebihi 100Tbps

TM Sertai Konsortium Bina Kabel Dasar Laut Baru Dengan Kelajuan Melebihi 100Tbps

Kabel ini akan menghubungkan Malaysia dengan banyak negara termasuk Singapura, Maldives, Pakistan, Oman, Djibouti, Arab Saudi, Mesir dan Perancis.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Telekom Malaysia Berhad (TM) baru-baru ini mengumumkan telah menjadi sebahagian daripada konsortium untuk membangunkan sistem kabel dasar laut terbaharu yang akan menghubungkan Asia Tenggara, Timur Tenggah dan Juga Eropah.

Sistem tersebut yang diberi nama Southeast Asia – Middle East – Western Europe 6 (SEA-ME-WE 6) dan dijangka siap pada awal 2025 akan menghubungkan Malaysia dengan banyak negara termasuk Singapura, Bangladesh, India, Sri Lanka, Maldives, Pakistan, Oman, Djibouti, Arab Saudi, Mesir dan Perancis.

Menurut TM dalam satu kenyataan, penyertaan berkenaan menjadi rasmi selepas syarikat telekomunikasi itu memeterai Perjanjian Pembinaan dan Penyelenggaraan dengan kesemua ahli konsortium lain baru-baru.

Perjanjian ini menjadikan SEA-ME-WE 6 sebagai pelaburan terbaharu TM dalam sistem kabel dasar laut selepas SEA-ME-WE 3, SEA-ME-WE 4, SEA-ME-WE 5 dan 30 kabel lain di seluruh dunia.

Pembinaan SEA-ME-WE 6 sepanjang 19,200 km ini juga menawarkan haluan dengan tindak balas terpantas (latensi rendah) selain kelajuan pantas melebihi 100TBps di antara Malaysia dan Eropah.

Tambah TM lagi, kabel dasar laut SEA-ME-WE 6 ini akan mendarat di stesen pendaratan kabel TM yang baharu di Morib, disamping empat buah stesen kabel yang sudah tersedia ada.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Imri Mokhtar dalam kenyataan sama berkata, usaha ini akan menjadikan Malaysia gerbang yang ideal bagi menghubungkan Malaysia kepada dunia, serta membolehkan syarikat teknologi global membawakan perkhidmatan-perkhidmatan digital inovatif kepada Malaysia.

“Pelaburan kami dalam SEA-ME-WE 6 akan membolehkan kami memenuhi keperluan kapasiti untuk permintaan digital masa hadapan yang kian meningkat merentasi Asia dan Eropah sambil terus menyediakan penyelesaian sambungan global yang diyakini, berpelbagai dan tanpa gangguan kepada pelanggan.

“Ini juga akan membolehkan TM menyokong pembangunan pusat-pusat data syarikat berskala hiper serta keperluan rangkaian 5G negara pada masa hadapan,” kata Imri.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan satu ahli konsortium iaitu Singtel, kabel ini akan bermula di Singapura dan berakhir di Perancis.

Mereka mengumpakanan kelajuan 100Tbps ini bersamaan dengan 40,000 video full HD.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.