fbpx
Lelaki berlari papah anak saudara dari rebah buat orang ramai tersentuh

Tindakan Lelaki Papah Anak Saudara Rebah Ketika Berkawad Buat Ramai Tersentuh

Tindakan bapa saudaranya yang menerpa untuk memapah pemuda itu membuatkan orang ramai tersentuh hingga ada yang menitiskan air mata.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kasihnya seorang lelaki meskipun sudah tua namun dirinya sanggup berlari tatkala melihat sekujur tubuh yang disayanginya rebah tiba-tiba ketika sedang berkawad.

Malah lelaki tua yang berlari dari arah khemah tetamu itu tidak mengendahkan selipar yang disarungnya tertanggal demi mendapatkan anak saudaranya itu yang turut dikenali sebagai Nik Mohamad Adhar Nik Ismadi.

Memetik laporan Berita Harian, insiden yang menyentuh hati itu berlaku semasa sambutan Hari Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Maktab Penjara Kajang, pada pagi semalam (21 Julai).

Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexender Nanta Linggi, menerusi satu hantarannya di Facebook.

Ada maksud tersirat dalam gambar yang dikongsikan

Beliau turut mengakui gambar yang dikongsikannya itu mempunyai banyak maksud yang tersirat.

“Banyak yang tersirat di sebalik turutan gambar ini. Ketika terkujurnya anak (anak saudara) tatkala berkawad, kerana menahan terik mentari, berlari si ayah (bapa saudara) menerpa dari arah khemah tetamu. Sehingga terlucut selipar yang di sarung, namun tidak diendahkan, asalkan beliau berada di sisi anak (anak saudara) dalam sekelip mata.

Buat ramai hadirin tersentuh dan menangis

“Melihat pengorbanan tidak terperi seorang ‘ayah’, berjurai air mata hadirin membasahi pipi masing-masing. Saya tidak terkecuali,” tulisnya di dalam Facebook.

Menurut Alexender, beliau bersama dengan yang lain memikirkan lelaki tua itu mahu mengusung anak saudaranya keluar daripada barisan namun sangkaan itu meleset sama sekali.

“Meskipun badan ayahnya (bapa saudara) dimamah usia, anaknya (anak saudara) dipapah, bingkas dibantu berdiri sambil badan menjengah lebih separuh abad itu menjadi benteng daripada anaknya kembali rebah,” jelasnya lagi.

Pesan untuk menghargai ibu bapa selagi mereka masih ada

Beliau dalam masa yang sama turut berpesan agar mereka yang masih mempunyai insan bergelar ayah hendaklah menghargai, menyanyangi dan santunilah mereka selagi hayatnya masih dikandung badan.

Nik Mohamad Adhar merupakan anak angkat Ketua Pemuda UMNO

Sementara itu, perkara ini turut dikongsi oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki menerusi hantarannya di Facebook, yang memaklumkan gambar pemuda yang rebah tersebut merupaka anak angkatnya yang bertugas sebagai Penguatkuasa KPDNHEP di Tawau Sabah.

“Beliau merupakan anak yatim piatu sejak sekolah lagi. Itu sebab kami ambil beliau sebagai salah seorang anak angkat kami sejak beliau di Sekolah Geting Tumpat lagi,” kata Dr Asyraf.

Orang ramai turut tersentuh melihat pengorbanan bapa saudara

Meninjau di ruangan komen, rata-rata warganet turut tersentuh dengan perkongsian itu sehingga mereka mendoakan kesihatan lelaki tersebut dan anak saudaranya sentiasa berada dalam keadaan baik.

Ada juga yang sebak membaca hantaran tersebut kerana melihat pengorbanan yang sanggup dilakukan demi anak saudara tercinta.

‘Semoga pakcik sihat walafiat, awak ada ayah yang hebat’

‘Sebak saat membaca dan melihat gambar ini’

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.