fbpx
Now Reading
Mereka Yang Enggan Bubar DUN Tamak Kuasa, Kata Zahid

Mereka Yang Enggan Bubar DUN Tamak Kuasa, Kata Zahid

Tambah Zahid lagi, alasan risiko ‘banjir besar’ juga sudah tidak lagi relevan sekiranya SPR menetapkan PRU-15 berlangsung sebelum pertengahan November depan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan pihak pembangkang yang merasakan Barisan Nasional (BN) tamak kuasa apabila meminta Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan.

Sebaliknya dia berpendapat, gabungan politik yang tidak mahu membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri yang dikuasai lebih sesuai digelar tamak kuasa.

Dia yang tampil menerusi satu hantaran di Facebook berkata, tujuan sesebuah pilihan raya termasuk PRU-15 diadakan adalah untuk menyerahkan kembali hak dan mandat kepada rakyat untuk memilih sebuah kerajaan baharu.

“PRU-15 bukan ‘upacara’ menyerahkan kuasa pentadbiran negara kepada BN tanpa ada pertandingan, sebaliknya sebuah proses undian rakyat yang menentukan.

“Pilihan raya umum, kecil mahupun negeri adalah sebuah proses demokrasi melalui peti undi yang boleh disertai mana-mana parti politik atau individu yang layak.

“Gabungan politik tamak kuasa adalah sesuai untuk (mereka) yang enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dikuasai mereka agar terus kekal mempertahankan kuasa,” kata Zahid.

Sanggup membazir kerana takut hilang kuasa

Tambah Presiden BN itu lagi, perbuatan takut hilang kuasa itu juga akan menyebabkam pembaziran kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu diadakan secara berasingan dari PRU.

Justeru Zahid mencadangkan orang ramai agar menolak gabungan tersebut yang menurutnya tidak mempedulikan masa depan rakyat dan negara selain atas kepentingan politik sendiri.

“Sanggup menyebabkan pembaziran untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) secara berasingan gara-gara khuatir akan kehilangan kuasa. BN jika tamak kuasa seperti mereka boleh tidak membenarkan negeri yang ditadbirnya tidak membubarkan DUN, namun bukan itu tujuan politik BN.

“Alasan risiko ‘banjir besar’ juga sudah tidak lagi relevan sekiranya SPR menetapkan PRU-15 berlangsung sebelum pertengahan November depan,” kata Zahid lagi.

Sebagai info, setakat ini hanya tiga negeri iaitu Pahang, Perlis dan Perak yang bersedia untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing bagi membolehkan pilihan raya diadakan serentak dengan peringkat Parlimen.

Manakala semua negeri lain yang berada di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan PAS iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Kedah, sudah mengesahkan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing.

Empat lagi negeri iaitu Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor pula baru sahaja selesai mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) masing-masing antara September 2021 hingga Mac lalu.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.