Insiden Tampar Pemain: Jurulatih Bola Tampar Mohon Maaf, Akui Menyesal & Sedia Terima Sebarang Tindakan
Permohonan maaf secara terbuka itu dilakukan oleh jurulatih bola tampar berkenaan itu sambil disaksikan Exco Melaka serta pegawai-pegawai tertinggi dari MSN dan MAVA.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sebelum ini, tular satu video di media sosial memaparkan tindakan seorang jurulatih pasukan bola tampar Melaka menampar dua orang remaja yang juga merupakan pemain bawah 14 tahun (B-14).
Insiden tersebut bagaimanapun telah mendapat perhatian dari pelbagai pihak termasuklah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang menyatakan tindakan berkenaan adalah salah.
Baca artikel berkaitan: Isu Pemain Bola Tampar Kena Penampar, Ahli Pasukan Mohon Henti Hina Coach ‘Gemuk & Botak’
Jurulatih tampil mohon maaf, akui kesal
Terbaharu jurulatih yang dikenali sebagai Saiful Hadee Ammar, telah tampil memohon maaf secara terbuka kepada semua pemain dan menyatakan bahawa dia kesal atas tindakan tersebut.
“Saya sesungguhnya kesal dengan apa yang berlaku dan memohon maaf kepada semua pemain terutamanya kedua pemain yang terbabit serta ibu bapa mereka.
“Pemain-pemain adalah keluarga dan kekuatan saya, tanpa mereka saya tidak boleh menjadi jurulatih,” ujar Saiful Hadee semasa membuat permohonan maaf pada lewat petang semalam (4 Januari).
Bersedia dengan sebarang tindakan
Memetik laporan Harian Metro, dia yang juga seorang guru itu memaklumkan dirinya bersedia dengan apa sahaja tindakan yang bakal dikenakan terhadapnya.
Jelasnya, dia tidak mempunyai sebarang niat untuk menggunakan kekerasan sewaktu insiden berlaku pada 16 Disember itu.
“Latihan yang saya (kendalikan) ada pelbagai jenis antaranya pendekatan psikologi, intensif dan fizikal dalam membentuk pemain.
“Saya tidak berniat untuk mengambil tindakan sehingga mendatangkan kecederaan, tindakan itu adalah untuk menaikkan lagi semangat dan memotivasikan mereka.
“Saya sedia dan reda dengan segala keputusan yang bakal dikenakan kepada saya selain berharap perkara ini menjadi pengajaran pada diri sendiri,” jelasnya.
Jurulatih itu ditemui sebaik sahaja selesai perjumpaan khas berkenaan isu itu, di mana ia turut disertai oleh Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Presiden Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA), Hean Boon Yeow serta Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka, Asri Ninggal.
MAVA akan putuskan perkhidmatan diteruskan atau sebaliknya
Dalam pada itu, Shanmugam memaklumkan keputusan sama ada perkhidmatan jurulatih berkenaan dilanjutkan atau sebaliknya serta apa jenis tindakan yang bakal dilakukan hanya boleh diketahui sebaik MAVA membuat keputusan.
“Kedudukan jurulatih itu sebelum ini terbahagi kepada tiga iaitu siasatan di pihak Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Unit Integriti dan MAVA tetapi kini ia diambil alih oleh MAVA selepas mendapat liputan meluas serta menteri.
“Pada waktu ini kita menunggu arahan dan tindakan yang akan diambil dan hari ini (4 Januari) di Melaka (siasatan) sudah selesai. Pihak MAVA yang berkuasa dalam hal ini, apa-apa tindakan yang akan diambil terhadap beliau adalah bergantung kepada KPM dan juga MAVA,” kata Shanmugam.
Beliau dalam masa sama turut berharap agar semua pihak tidak memperbesarkan hal ini disebabkan ia boleh mengganggu serta menjejaskan emosi dua pemain berkenaan.