fbpx
Now Reading
Kontrak Selaku CEO Finas Ditamatkan 24 Jam, Md Nasir Terasa Dizalimi

Kontrak Selaku CEO Finas Ditamatkan 24 Jam, Md Nasir Terasa Dizalimi

Menurut Md Nas, penamatan khidmatnya sebagai CEO Finas adalah persetujuan bersama ahli lembaga pengarah.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sejak semalam (31 Mei) industri hiburan digemparkan dengan berita penamatan kontrak Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Profesor Dr Md Nasir Ibrahim.

Ianya susulan penularan satu surat yang menggunakan kepala surat Finas bertarikh sama.

Md Nasir kemudiannya mengiyakan perkara tersebut dan memaklumkan penamatan tersebut adalah lima bulan lebih awal daripada kontrak asalnya.

Penamatan khidmat sebagai langkah penstrukturan – Finas

Finas dalam satu kenyataan pada hari ini (1 Jun) turut mengesahkan perkara itu dan menjelaskan ianya diambil selepas melihat kepada keperluan badan itu melakukan penstrukturan semula (recalibration) ke atas dasar, program dan aktiviti kreatif bagi menghasilkan filem tempatan yang berkualiti.

Sehubungan itu Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Finas, Rozita Waty Ridzuan akan mengambil alih tugas tersebut sepanjang tempoh interim sehingga jawatan berkenaan diisi.

“Inisiatif ini diharap dapat membantu penggiat filem Malaysia menghasilkan filem berkualiti yang mempunyai nilai pasaran tempatan dan antarabangsa yang tinggi,” kata Finas.

Dakwa tidak diberi peluang membela diri

Terbaharu media melaporkan Md Nasir beranggapan dia telah dizalimi dan tidak diberi ruang berbincang dan membela diri sekiranya keputusan yang diambil melibatkan salah laku integriti atau jenayah.

“Saya dapat tahu penamatan ini adalah persetujuan bersama ahli lembaga pengarah Finas tetapi saya tidak pernah dipanggil berbincang atau dimaklumkan lebih awal. Jadi saya rasa dizalimi apabila berlaku begini.

“Kalau ada masalah integriti atau jenayah saya berhak dipanggil untuk membela diri. Namun ia tidak berlaku, jadi memang terkejut dengan keputusan ini,” katanya dipetik dari mStar.

Malah bapa kepada pelakon, Anzalna Nasir itu juga tidak menolak wujudnya kronisme.

“Secara peribadi saya tidak menolak wujudnya kroni. Benda ini memang tidak bagus, namun ia pasti akan berlaku dalam mana-mana organisasi.

“Ada manusia yang begitu susah untuk menerima teguran. Contoh paling mudah adalah apabila saya menegur kakitangan yang berada di kafe dalam waktu bekerja. Saya tegur untuk memperbaiki.

“Sidang media ini bertujuan untuk membersihkan nama saya. Saya tidak mahu ada yang anggap bukan-bukan kerana ia berlaku dalam tempoh 24 jam.”

Beliau bagaimanapun reda dengan apa yang berlaku dan bercadang untuk berehat selepas lebih setahun mengemudi Finas.

Sebagai rekod, Md Nasir memulakan tugasnya sebagai CEO Finas pada 1 November 2021 lalu bagi menggantikan Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang meletakkan jawatan dan mengakhiri tugas berkuat kuasa 15 Oktober 2021.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.