Lim Kit Siang Bakal Terima Gelaran Tan Sri Esok?
Jika benar apa yang diperkatakan, Lim Kit Siang akan menjadi pemimpin DAP pertama yang pernah dianugerahkan dengan gelaran Tan Sri.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Hari ini, 4 Jun tular di media sosial foto memperlihatkan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang memakai songkok dipercayai berlatarbelakangkan ruangan dalam istana.
Foto berkenaan yang dimuat naik bekas Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun menerusi satu hantaran di Facebook ternyata mendapat perhatian orang ramai.
Menurut Jeff Ooi yang juga Koordinator Parti Warisan Sabah (Warisan) Pulau Pinang, kehadiran Kit Siang di sana adalah untuk menghadiri satu ‘raptai’ majlis penganugerahan.
Gelar Kit Siang “Tan Sri”
Apa yang lebih mencuri tumpuan apabila dia memanggil bekas Ahli Parlimen Gelang Patah itu dengan gelaran ‘Tan Sri’.
“Keluarga veteran Lim. Tan Sri Lim Kit Siang (Raptai). Tun Lim Chong Eu. Tun Ling Liong Sik. Tun Lim Keng Yaik.”
Menerusi ruangan komen pula, dia turut memaklumkan songkok yang dipakai Lim ketika raptai agak kecil dan perlu ditukar.
“Penganugerahan adalah pada hari Isnin, 5 Jun. Masih ada masa untuk membeli songkok.
“Songkok semasa raptai kelihatan tidak begitu muat dengan kepala beliau (Lim). Ia kelihatan seperti songkok budak, yang dipakaikan di kepala seorang ayah,” katanya.
Malam Sabtu raptai, malam Isnin Tan Sri
Di dalam satu perkongsian di Twitter pula, Jeff Oii menyebut “malam Sabtu Raptai, malam Isnin Tan Sri Lim Kit Siang”.
Malam Sabtu: Raptai
— Jeff Ooi (@Jeff4Malaysia) June 3, 2023
Malam Senin: Tan Sri Lim Kit Siang
Teringat juga lagu Broery Marantika…
Malam Senin mulai bertemu
Malam Selasa datang bertamu
Malam Rabu terus merayu
Malam Khamis darling I love you
Malam Jumat terima surat
Yang isinya cinta ditolak
Malam Sabtu tinggal lah… pic.twitter.com/fYH64Hfgxa
Muat naik itu mencetuskan spekulasi bahawa Kit Siang bakal menerima gelaran Tan Sri sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke-64 yang akan berlangsung esok.
Jika benar apa yang diperkatakan, Kit Siang akan menjadi pemimpin DAP pertama yang pernah dianugerahkan dengan gelaran berkenaan.
Sebagai info, gelaran Tan Sri merupakan darjah kebesaran persekutuan kedua tertinggi di Malaysia selepas Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara, Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) atau Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia, Seri Setia Mahkota yang membawa gelaran Tun.