Anak Kongsi Bapa Meninggal Dunia Dalam Keadaan Mulia Sebelum Aidiladha, Buat Ramai Sebak [Video]
Menurut Raja Hisyam, bapanya terkulai sebaik sahaja memberi salam ketika menunaikan solat subuh malah dia juga ketika itu sedang berpuasa sunat Hari Arafah.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap hamba Allah SWT yang berada di dunia ini pasti akan merasai mati apabila tiba waktunya.
Walau bagaimanapun, tiada siapa tahu bagaimanakah pengakhiran kehidupan seseorang insan sama ada akan dimatikan dalam keadaan mulia mahupun sebaliknya.
Oleh itu, sebagai seorang hamba Allah SWT yang ingin menghuni syurgaNya kita akan sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik dan melakukan setiap ibadah yang dipesan dan meninggalkan kemungkaran.
Individu kongsi detik bapa meninggal dunia ketika sedang menunaikan solat
Baru-baru ini, tular di media sosial satu video dikongsikan oleh Raja Hisyam Raja Zaid memaparkan detik akhir bapanya yang meninggal dunia dalam keadaan yang sangat dicemburui.
Menerusi rakaman CCTV tersebut, Raja Hisyam memaklumkan kedua ibu bapanya telah berkunjung ke Surau Rumah Murah Kuala Telemong, Terengganu dengan menaiki motosikal untuk mendirikan ibadah solat subuh, kelmarin (28 Jun).
Terkulai selepas beri salam
Sampai di surau, bapanya kemudian telah berpaut pada tembok berdekatan tangga untuk mendaki tangga dan berjalan dengan perlahan memasuki surau.
Dia kemudian solat di atas kerusi di bahagian tepi dinding bawah CCTV sebelum para jemaah datang mengerumuninya.
“Ketika ini Allahyarham terkulai sebaik sahaja memberi salam.
“Ibu juga keluar (dari sebalik tirai bahagian solat wanita) selepas jemaah mula mengerumuni arwah ayah,” tulisnya dalam video tersebut.
Turut ucap terima kasih kepada jemaah yang membantu arwah bapa
Malah Raja Hisham turut memberitahu terdapat satu babak di dalam rakaman ketika itu menunjukkan arwah bapanya sedang dipangku namun dia sudah meninggal dunia.
“Jazakumullah kahiran kathiran kepada semua jemaah solat subuh pada 28 Jun yang bertungkus kumus memberikan bantuan.”
Raja Hisyam turut menunjukkan beberapa momen ketika pengurusan jenazah bapanya dari sebelum dikebumikan sehinggalah selesai.
“Allayarham ayah, Raja Zaid Raja Sulong pergi dalam keadaan sedang menunaikan solat, berpuasa, berwuduk, di Hari Wukuf (Hari Arafah) dan di rumah Allah.
“Semoga segalanya dalam husnul khatimah,” ujarnya lagi.
Reda atas permergian bapa kepada sang pencipta
Dalam satu lagi video yang dimuat naik dia turut menyatakan dalam sedih atas pemergian bapa namun Raja Hisyam berasa kagum dengan apa yang telah terjadi.
“Yaa Abi (wahai ayah).. telah kau sempurnakan tugasmu di dunia fana… Semoga engkau sempurnakan iftar puasamu di syurga duhai ayah!
“Maha suci Tuhan, Allah Jalla Waala yang maha berkuasa menjemputmu ketika salam Rawatib di hening subuh. ‘Kun Fayakun!’ semoga petanda segala Husnis Khatimah yang diburu manusia.
“Besar makna korban untuk kami tahun ini, dalam sedih terselit kagum dan senyum. Kami tetap panjatkan syukur dan reda padaNya dunia Ayah,” luah Raja Hisyam.
Melihat di ruangan komen, ramai yang mendoakan agar roh bapa Raja Hisyam ditempat dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Ada juga yang menyifatkan ia merupakan pengakhiran yang indah.