Gelagat Kanak-Kanak 4 Tahun Tatap Potret Arwah Bapa Kerana Terlalu Rindu Buat Ramai Sebak [Video]
Hasya memberitahu yang dia mahukan ayahnya namun si ibu memujuk agar dia sentiasa berdoa buat arwah bapa.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kehilangan orang yang tersayang seperti ibu atau bapa merupakan antara perkara yang amat menyedihkan buat seseorang.
Tidak kiralah sudah besar atau masih kecil mereka juga tidak lari daripada memendam rasa rindu kepada orang tersayang itu.
Bahkan rasa rindu itu hanya dapat dilepaskan apabila menatap gambar kenangan bersama dan juga doa agar ibu atau bapa yang telah pergi menghadap ilahi ditempatkan di kalangan orang beriman.
Kanak-kanak tatap gambar arwah bapa kerana rindu
Perkara ini samalah seperti apa yang dilakukan oleh seorang kanak-kanak perempuan yang dilihat begitu merindui arwah bapa apabila menatap gambar perkahwinan orang tuanya ntuk melepaskan rindu.
Menerusi video dikongsikan oleh @nurrr377, dia pada awalnya memanggil kanak-kanak yang bernama Hasya untuk mandi sebelum terlihat si kecil itu mengambil gambar berkenaan.
Si kecil itu kemudian duduk di atas sebuah kerusi dan kemudian mengadu kepada Maha Pencipta bahawa dia merindui bapanya.
“Ya Allah, Hasya rindu papa,” katanya.
Bacakan al-Fatihah untuk arwah bapa yang tersayang
Hasya kemudiannya membacakan surah al-Fatihah buat bapa tersayang sekaligus membuatkan si ibu berasa sebak.
“Terus dia bacakan al-Fatihah untuk arwah papa dia, ya Allah.. anak soleh ibu ni.
“Sebab ibu tak nak biarkan dia lama-lama, ibu tegur… ibu tanya Hasya rindu papa ke?” soalnya kepada si kecil.
Kanak-kanak itu kemudian menjawab dia mahukan bapanya namun ibu cuba menenangkannya dengan mengingatkan bahawa sekiranya rindu dia perlu membaca doa buat arwah.
“Hasya baru empat tahun, panjang lagi perjalanan hidup Hasya. Semoga terus doakan arwah papa ya anak solehah ibu.”
Ramai sebak lihat Hasya yang rindukan bapanya
Nur dalam masa sama menyatakan dia pasti arwah suaminya bangga jika dapat melihat anak solehah mereka dan berharap Allah SWT mendengar setiap rintihan si kecil.
Menjengah di ruangan komen, ramai yang berasa sebak dan sedih melihat gelagat kanak-kanak itu. Bahkan mereka turut mendoakan agar Hasya menjadi anak yang baik dan berjaya di dunia dan juga akhirat.