fbpx
Now Reading
75% Remaja Malaysia Tonton Video & Gambar Pornografi – Kajian UKM

75% Remaja Malaysia Tonton Video & Gambar Pornografi – Kajian UKM

Hasil kajian mendapati majoriti merupakan remaja lelaki dan mula terjebak seawal peringkat sekolah menengah.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kemajuan teknologi pada masa kini sememangnya memudahkan aktiviti harian seperti pembayaran dan pencarian maklumat boleh diperolehi dengan hanya melalui hujung jari.

Malah, kemajuan ini turut dirasai oleh segenap lapisan masyarakat termasuk golongan remaja terutama di peringkat sekolah menengah bagi tujuan pendidikan dan sosial.

Berdasarkan Laporan Survei Penggunaan dan Capaian ICT Tahun 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kajian menunjukkan penggunaan internet dalam kalangan rakyat yang berusia 15 tahun ke atas meningkat sebanyak 89.6% pada tahun 2020 berbanding 84.2% pada tahun 2019.

Namun, hasil kajian akademik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2021 menunjukkan 75% daripada remaja di Malaysia pernah menonton video dan gambar lucah.

Kemudahan Akses Internet Di Rumah Dorong Remaja Tonton Video Lucah, Boleh Sebabkan Ketagihan

Menurut Pensyarah di Jabatan Perubatan Keluarga Fakulti Perubatan UKM, Prof. Madya Dr Noor Azimah Muhammad, hasil kajian turut mendapati majoriti merupakan remaja lelaki dan mula terjebak seawal peringkat sekolah menengah.

Keadaan ini mula terjadi dengan adanya kemudahan akses internet di rumah yang membolehkan mereka menggunakannya secara sendirian tanpa pemantauan daripada ibu bapa.

“Ia terjadi apabila tiada pemantauan dari ibu bapa yang terlalu sibuk bekerja dan tiada di rumah,” kata beliau.

Tambah beliau, tindakan ini boleh menyebabkan mereka mengalami ketagihan dan berisiko untuk melakukan seks bebas.

 “Menonton pornogarafi ini menyebabkan sebahagian daripada remaja kita mengalami ketagihan yang boleh menyebabkan mereka berisiko melakukan seks bebas dan mengalami jangkitan penyakit kelamin seperti human immunodeficiency virus (HIV) dan siflis,” kata beliau lagi.

Ada Yang Amalkan Seks Bebas Ketika Di Kolej

Ujar beliau lagi, ketagihan yang dialami oleh remaja yang terlibat boleh mendorong mereka untuk mengamalkan seks bebas terutama ketika melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi.

“Terdapat kes seorang pelajar lelaki mengakui menonton lebih 200 video pornografi sehari semata-mata untuk memuaskan keinginan seksualnya. Seterusnya pelajar ini terdedah kepada masturbasi dan akhirnya mengamalkan aktiviti seks bebas ketika menuntut di kolej,” katanya.

Malah, kenyataan ini dapat dilihat berdasarkan dapatan kajian terhadap 988 pelajar kolej pada tahun 2013 yang menunjukkan 10% pelajar pernah melakukan aktiviti seksual dan 5% sangat aktif melakukan perbuatan itu.

“Dapatan yang hampir sama dapat dilihat dalam Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan 2017 iaitu 7.3 peratus remaja berumur 13 hingga 17 tahun pernah melakukan seks seawal usia kurang dari 14 tahun dan lima peratus aktif melakukan seks,” katanya.

Kemudahan Internet Di Salah Guna Untuk Remaja Dapatkan Video & Gambar Pornografi

Bagi beliau, akses internet dan media sosial memberi ruang kepada sebahagian remaja untuk menonton dan mendapatkan video serta gambar pornografi tanpa dapat dikesan.

“Perbuatan ini disokong dengan adanya kemudahan wifi sama ada di rumah sendiri atau sesetengah premis yang mana remaja tidak perlu mengeluarkan duit sendiri,” ujarnya.

Ibu Bapa Perlu Main Peranan, Beri Pendidikan Seksual Kepada Anak-Anak

Dr Noor Azimah berpendapat ibu bapa memainkan peranan penting bagi mengatasi masalah ini terutamanya dalam memberi pendidikan seksual kepada anak-anak.

“Antara topik yang perlu dijelaskan kepada anak adalah apakah itu seks, seks berisiko, komplikasi seks bebas, jangkitan penyakit kelamin dan kehamilan tanpa dirancang,” kata beliau.

Malah, beliau turut menyarankan agar ibu bapa mencari ilmu terutamanya berkaitan pendidikan seksual terlebih dahulu kerana pada masa ini ibu bapa sahaja orang yang tepat untuk mengajar anak mereka.

“Ibu bapa juga sering menggunakan istilah hubungan kelamin. Namun begitu, remaja mungkin keliru definisi ini dengan istilah seks. Carilah ilmu mengenai perkara itu kerana tiada orang lain yang boleh melakukannya melainkan ibu bapa itu sendiri,” tambah beliau.

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.