Ibu Bapa Perlu Terbuka Didik Anak Tentang Seks Demi Elak Masalah Ketagihan Pornografi – Pakar
Selain pendidikan awal seks, ibu bapa yang beragama Islam juga boleh memberitahu si kecil apa perkara yang dilarang agar mereka faham.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Isu ketagihan pornografi yang berlaku di kalangan kanak-kanak atau remaja bukanlah suatu perkara yang baharu.
Malah dengan adanya teknologi yang maju ini semuanya dapat diterokai di hujung jari sahaja.
Walau bagaimanapun, sebagai ibu bapa pastinya kita tidak mahu pemikiran anak-anak tercemar dengan sesuatu yang tidak baik maka pelbagai inisiatif dilakukan untuk menghindari perkara tersebut berlaku kepada si kecil anda.
Ibu Bapa perlu terbuka didik anak tentang pendidikan awal seks
Baru-baru ini Pakar Perubatan Keluarga dari Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Noor Azimah Muhammad menyatakan pendidikan awal tentang seks dapat menghindari anak daripada masalah ketagihan pornografi.
Ini kerana, kanak-kanak mahupun remaja berada dalam fasa ingin tahu dan sikap terbuka ibu bapa dalam mendidik mengenai seks dapat membantu mereka berbanding si anak mencari informasi melalui bahan pornografi.
“Bercakap dengan anak mengenai apa itu seks, apa perkara boleh dan tidak boleh. Bagi umat Islam, ibu bapa beritahu apa perkara yang dilarang…kerana jika mereka ini dididik dari awal, insya-Allah mereka akan faham (tentang seks).
“Masalah yang timbul, saya rasa kerana pendidikan (mengenai seks antara ibu bapa dan anak) itu tidak berlaku (dalam kehidupan berkeluarga) dan kita hanya bergantung kepada sekolah,” ujarnya, lapor Berita Harian.
Ibu bapa dinasihatkan untuk terus buat pemantauan terhadapa anak
Prof Noor Azimah dalam masa sama turut menasihati ibu bapa untuk terus membuat pemantauan kepada anak-anak khususnya dari sudut penggunaan internet.
Ini kerana mereka boleh mendapatkan akses kepada bahan pornogrofi dengan cara yang sangat mudah.
“Walaupun anak sudah masuk sekolah menengah atau kolej, pemantauan ini perlu dilakukan pada bila-bila masa… apabila ibu bapa pegang telefon anak, anda dibenarkan untuk memeriksa bila-bila masa kerana anak-anak terutama remaja mudah guna Internet atau mengakses untuk tengok pornografi.
“Mereka mempunyai sifat ingin tahu sebab tidak tahu apa itu seks. Jadi, kalau dalam kebanyakan rumah di Malaysia, ibu bapa tidak bercakap tentang seks, jadi di mana lagi mereka (anak-anak) boleh mendapatkan maklumat itu selain melalui Internet,” katanya lagi.
Untuk makluman anda, penagihan terhadap bahan pornografi boleh membuatkan mental seseorang menjadi terganggu sehingga mungkin bolen menyebabkan segelintir menginginkannya.
Malah mereka juga turut terdedah dan berisiko tinggi untuk melakukan pelbagai jenayah seksual seperti menyimpan gambar atau video yang tidak sepatutnya di dalam telefon bimbit, merakam aksi tidak senonoh dan ada juga yang terbabit dengan rogol serta banyak lagi demi melepaskan nafsu.