Sering Tanya Tentang Kerja Sekolah Anak, Cikgu Terpaksa Tegur Ibu Bapa Di Grup WhatsApp
Menurut guru berkenaan, ibu bapa perlu mengajar erti tanggungjawab kepada anak dan sudah menjadi tugas mereka untuk fokus ketika berada di dalam kelas.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap yang bergelar pendidik tentunya ingin anak murid mereka berjaya. Oleh itu, apa sahaja sanggup dilakukan demi mendidik anak bangsa agar berjaya di masa hadapan.
Teknologi yang canggih ada pada masa kini seperti WhatsApp, membuatkan guru lebih mudah untuk berhubung dengan ibu bapa jika terdapat makluman penting seperti prestasi atau sebarang permasalahan pelajaran anak tanpa perlu hadir ke sekolah.
Namun tidak dinafikan dalam menginginkan anak berjaya terdapat segelintir para ibu bapa yang tidak mengambil serius tentang pelajaran anak dan hanya menyerahkan segalanya kepada guru untuk mengajar anak mereka.
Perkara sebegini adakalanya membuatkan para guru penat kerana semuanya hanya bergantung kepada mereka sahaja.
Cikgu tegur ibu bapa perlu ajar anak erti tanggungjawab
Baru-baru ini, seorang wanita yang dipercayai guru di sebuah sekolah telah bertindak menegur segelintir sikap ibu bapa di grup WhatsApp kerana asyik bertanya tentang kerja sekolah anak.
Menerusi tangkap layar perbualan itu, guru berkenaan yang dikenali sebagai Cikgu Zulaikha berkata ibu bapa perlu mengajar anak erti tanggungjawab dan tidak sepatutnya melayan mereka apabila tidak menyiapkan kerja sekolah.
“Maaf tanyalah, kenapa ya masalah mak-mak dekat sini yang nak sangat melayan anak tak siap kerja? Patutnya kita ajarkan anak-anak tu erti tanggungjawab, bukan kita yang memanjakan dia.
“Hari-hari tanya ada kerja sekolah ke tak, siapa yang datang sekolah sebenarnya? Anak-anak tu ada tak dalam kelas masa cikgu mengajar?
“Memang jadi tanggungjawab cikgu ke untuk maklumkan setiap kerja sekolah yang diberi?” soal guru itu kepada ibu bapa terbabit.
Murid sepatutnya fokus dan peka ketika dalam kelas
Malah dia turut berpendapat adalah menjadi tanggungjawab murid untuk fokus serta peka dengan apa yang berlaku di dalam kelas. Bukan hanya itu, guru wanita tersebut turut tidak dapat menerima tingkah laku ibu bapa yang memanjakan anak kerana mereka semua sudah melangkah ke tahun 4.
Guru berkenaan turut memberi peringatan bahawa grup tersebut dicipta untuk menyalurkan makluman penting berkaitan sekolah.
Melihat di ruangan komen, ramai yang bersetuju dengan apa yang diluahkan oleh guiru berkenaan.
Ada juga yang berterima kasih kerana berani ‘menyekolahkan’ (tegur) ibu bapa terbabit.