fbpx
Now Reading
Bell Ngasri Mohon Maaf Tak Dapat Tunaikan Manifesto ‘Barkoba’, Netizen Faham Sekadar Gurauan

Bell Ngasri Mohon Maaf Tak Dapat Tunaikan Manifesto ‘Barkoba’, Netizen Faham Sekadar Gurauan

Menurut Bell, dia tidak menyangka janji mengenai belanja makan tengah hari di bulan puasa yang dibuat secara bergurau dan spontan itu dipandang serius sesetengah pihak.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Jumaat lalu (21 Julai), pelakon dan pelawak terkenal, Bell Ngasri telah dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular dan Artis Komedi Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2023 (ABPBH 35) yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Bell pernah membuat manifesto dengan mengatakan dia akan membelanja orang ramai makan tengah hari ketika bulan Ramadan jika dia memenangi anugerah terbabit.

Hal ini kerana, artis yang telah menapak dalam industri seni lebih 30 tahun itu cukup terkenal dengan watak Barkoba dalam filem siri Puasa arahan Allahyarham Mamat Khalid.

Bell Ngasri mohon maaf, tak dapat tunaikan manifesto

Meskipun kenyataan itu jelas sekadar gurauannya, Bell tetap memohon maaf kerana tidak boleh menunaikan manifesto yang dibuatnya itu.

Menurut Bell, dia tidak menyangka janji yang dibuat secara bergurau dan spontan itu dipandang serius sesetengah pihak.

“Manifesto yang digunakan untuk berkempen itu adalah cadangan daripada rakan, tetapi saya tidak menyangka ia dipandang serius pula. Saya anggap ia sekadar gurauan saja.

“Apabila dijadikan sebagai manifesto kempen, saya berpendapat takkan mereka hendak makan ketika bulan puasa. Namun, saya tidak menyangka dan terlepas pandang ada dalam kalangan pengundi saya bukan beragama Islam.

“Jadi, saya termenung sekarang ini kerana tidak tahu bagaimana hendak memberikan maklum balas. Saya memang tidak sangka sebenarnya,” katanya yang dipetik Harian Metro.

Dr Malar Santhi ingatkan Bell Ngasri untuk tunai janji

Pakar kesihatan dan influencer, Dr. Malar Santhi antara individu yang menuntut Bell membelanjanya makan tengah hari pada bulan Ramadan.

Menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya, Dr Malar berseloroh dengan mengingatkan Bell agar menunaikan janji untuk membelanja beliau makan.

Bell Ngasri ambil iktibar untuk bergurau di masa hadapan

Menurut Bell Lagi, dia pada masa sama turut mengambil iktibar untuk membuat lawak pada masa hadapan.

“Saya meminta maaf, namun saya bukan berkecimpung dalam bidang politik. Saya berada dalam bidang hiburan dan apa yang saya buat untuk menghiburkan anda semua saja.

“Tidak ada pun saya terfikir untuk merealisasikan apa yang dijanjikan dengan betul. Namun saya menjadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran untuk membuat lawak,” ujarnya lagi.

Bell Ngasri kotakan janji, tetap belanja makanan tapi bukan bulan puasa

Bagaimanapun, Bell tetap menunaikan janjinya dengan memberi makanan dan minuman kepada pekerja di Media Prima ketika dijemput untuk ditemu bual oleh Hot FM.

Selain itu, pelakon filem siri 16 Puasa itu turut memberi 100 meatball percuma di setiap cawangan Pak Mat Western kepada pelanggan terawal.

Netizen faham manifesto Bell Ngasri hanyalah gurauan

Dalam pada itu, tinjauan kami di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna media sosial serta peminat Bell memahami manifesto yang dibuat oleh pelakon drama Cili-cili Padi itu hanyalah gurauan semata.

Malah mereka turut mengatakan undian yang diberikan kepada Bell adalah ikhlas kerana ingin melihat pelawak itu mendapat anugerah atas sumbangannya dalam bidang seni tanah air.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.