Individu Dakwa Jumpa Botol Di Tepi Laut Dipercayai Barangan Sihir
Individu berkenaan turut menjumpai dua keping gambar berserta nama pada dua helai kertas selepas membuka botol misteri berkenaan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sihir merupakan satu perbuatan yang berdosa dilakukan oleh segelintir individu untuk membuatkan orang yang tidak disukai berada dalam kesusahan.
Tindakan buruk ini turut dilakukan di atas pelbagai sebab contohnya kerana perasaan iri hati, tidak suka kepada seseorang atas kejayaan, kecantikan serta banyak lagi.
Namun perkara ini akan membuatkan mangsa atau individu yang disihir menjalani kehidupan yang terseksa akibat diganggu dengan pelbagai perkara atau makhluk ghaib.
Individu jumpa barangan sihir
Baru-baru ini, seorang lelaki secara tidak sengaja telah terjumpa beberapa barangan sihir ketika berkunjung di sebuah pantai Port Dickson, Negeri Sembilan.
Perkara itu dikongsikan oleh seorang individu menerusi laman grup B40 Buat Perangai Apa Harini di Facebook pada 29 Julai yang lalu.
Menerusi hantaran berkenaan dia menyatakan tidak tahu mengapa tetapi seperti ada sesuatu yang ‘menariknya’ untuk turun ke laut walhal ketika itu keadaan cuaca tidak berapa baik apabila ia hujan dan kilat.
Salah satu sudah dibuka, barangan turut ada gambar dan nama
Dia kemudian memaklumkan terjumpa dua benda yang dipercayai barangan sihir ketika berada di kawasan berkenaan.
“Salah satunya saya dah buka.. jangan tanya kenapa saya buka sebab saya sendiri tak ada jawapan.
“Apa yang patut saya buat? Lagi satu botol saya tak buka pun..,” ujarnya selain memaklumkan dia meninggalkan barangan tersebut di sebuah pondok berdekatan dengan kawasan itu.
Dibungkus dengan kain hitam
Menerusi video yang dikongsikan turut kelihatan beberapa keping gambar dan juga kertas seperti ditulis nama yang dibalut dengan satu kain berwarna hitam dan diikat dengan benang hitam.
“Ya Allah ya tuhanku, masih ada ya manusia macam ni astagfirullahalzim,” ujarnya.
Perkongsian itu secara tidak langsung turut menarik perhatian orang ramai, malah mereka turut cuba membuat pencarian nama individu yang di dalam kertas tersebut di Facebook.
Namun kelihatan akaun itu seperti tidak lagi aktif, tidak kurang juga ada yang berterima kasih kepada lelaki berkenaan kerana telah membuka botol tersebut selain berharap sihir akan terhenti.