fbpx
Now Reading
Lelaki Kongsi Pengalaman & Kesan Dibuli Di Tempat Kerja [Video]

Lelaki Kongsi Pengalaman & Kesan Dibuli Di Tempat Kerja [Video]

Menurut Josh antara kesan yang dialaminya selepas menjadi mangsa buli adalah sering berasa takut, cepat panik dan berasa sangat berdosa dalam sesuatu perkara.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Gejala buli boleh memberikan kesan yang mendalam kepada mangsa antaranya trauma.

Malah, adakalanya mereka yang menjadi mangsa buli ini sering berada dalam keadaan takut dan hilang keyakinan diri hingga menyebabkan mereka tersekat pada satu tahap.

Lelaki kongsi pengalaman kena buli

Baru-baru ini, seorang lelaki yang dikenali sebagai Josh Awang telah berkongsi pengalaman dan kesan yang dialaminya selepas tiga tahun menjadi mangsa buli di tempat kerja.

Jelas Josh, perkara itu mula berlaku pada tahun 2019 ketika dia bekerja di sebuah syarikat ‘public listed’ dan memegang jawatan yang tinggi.

Namun kata Josh, dia mempunyai dua orang lagi ‘bos’ di atasnya iaitu ketua jabatan dan juga ketua pegawai eksekutif (CEO). Bagaimanapun sebarang laporan mengenai kerjanya perlu dimaklumkan kepada ketua jabatan.

“Saya dibuli saban hari, tekanan darah tinggi meningkat dengan bacaan 180/130. Saya awalnya tak tahu saya dibuli kerana merasakan saya yang bersalah jadi saya yang patut kena.

“Saya pada ketika itu berusia 46 tahun, jadi bayangkan pada usia itu saya dimarah, kena maki dan kena ‘pijak’ seolah-olah tiada nilai diri sehingga saya menangis di hadapan khalayak ramai dan rakan sekerja lebih kurang lima kali. (Ini berlaku) setelah saya menjadi General Manager dan menjadi CEO syarikat sebelum itu.

“Walaupun banyak pengalaman, (dek) kerana terlalu teruk sehingga saya bukan sahaja menangis tetapi teresak-esak,” katanya.

Doktor nasihat untuk berhenti kerja

Menurutnya pada suatu hari dia berasa pening dan rasa tekanan yang amat sangat lalu membuat keputusan berjumpa dengan doktor di klinik yang menjadi panel syarikat berkenaan. Doktor itu kemudian bertanya dia bekerja di bahagian mana sebelum pakar perubatan itu menyebut nama orang atasannya.

Dia kemudian mengiyakan perkara itu dan doktor itu segera mengambil pensil dan kertas dan kemudian diberikan kepada Josh.

Doktor minta rujuk IJN serta-merta

Yang pertama doktor memberi preskripsi untuk membuat pemeriksaan serta merta di Institut Jantung Negara (IJN) dan yang kedua adalah doktor itu menasihatkan agar dia berhenti dari syarikat berkenaan.

Dia yang terkejut dengan nasihat itu bertanya mengapa doktor tersebut memberikan nasihat sebegitu kepadanya.

“Doktor kata, bos awak kita (doktor) jumpa dia lebih kurang sekali dalam 3 bulan sakit atau sebagainya. Kita kena layan dia 15 minit, dan dalam masa tersebut tidak ada sesiapa dalam klinik boleh tahan dengan dia.

“Saya tak faham macam mana awak boleh kerja dan terpaksa jumpa dia setiap hari,” kata doktor itu kepada Josh.

Insiden buli buat Josh rasa takut, panik dan berdosa jika kecewakan orang lain

Josh akhirnya berhenti, namun selepas situasi itu dia menyedari terdapat kesan yang berlaku kepadanya meskipun dia pada waktu itu sudah pun menjalankan perniagaan sendiri yang dibangunkan bersama seorang rakan kongsi.

Apabila terdapat situasi kerja yang memberikan tekanan, ia akan membuat Josh berasa panik dan rasa teramat takut untuk mengecewakan pelanggan selain berasa sangat berdosa.

“Baru-baru ini, saya dan rakan kongsi perasanlah apabila saya memberikan reaksi berlebihan dan menjadi tertekan. Sebenarnya saya rasa tidak boleh kawal perkara ini, macam saya dah buat sesuatu yang teruk sangat ke?

“Malah jangkaan saya kepada orang lain terlalu tinggi,” jelasnya. Dia bagaimanapun bersyukur kerana mempunyai seorang rakan kongsi yang memahami dan Josh mengambil masa pada minggu lalu untuk membuat ‘soul searching’.

Berdepan dengan trauma untuk atasi masalah dihadapi

Kata Josh semua bermula daripada pengalaman getir ketika di syarikat terbabit dan sedar dirinya masih berada di dalam trauma yang belum selesai. Oleh itu, dia mengambil masa untuk mengatasi masalah tersebut.

Selepas berdepan dengan trauma itu dan cuba mengawalnya dia kini berasa lebih tenang daripada sebelumnya.

@joshawangjirawat

4 tahun selepas saya dibuli (sorang boss andartu) teruk di tempat kerja (Bursa Malaysia) bagaimanakah kesihatan mental saya sekarang? Adakah kesan2 dan trauma masih berlarutan? Saya kongsi dari pengalam peribadi. #trauma #bullyingawareness #bullyvictim😥 #testimony #realstories

♬ original sound – Josh Awang – Josh Awang

Maklum bagaimana nak tahu anda mangsa buli

Dalam satu lagi video dimuat naik, Josh turut berkongsi bagaimana seseorang itu mengetahui diri menjadi mangsa buli.

Ujarnya pada awal, mangsa tidak akan sedar yang dia sedang dibuli kerana rasa ragu-ragu dengan pendapat dan perkspektif fikiran kita sendiri.

Bukan hanya itu, mereka yang dibuli juga akan rasa seperti ketinggalan atau lain dari yang lain hingga menyebabkan anda rasa bersalah, mangsa tidak mempunyai penyokong serta banyak lagi.

Video itu kemudian menjadi tular sehingga menarik perhatian netizen, malah di ruangan komen ada yang berkongsi pengalaman mereka sendiri apabila menjadi mangsa buli.

“Suami saya pun alami.. sampai sekarang takut-takut nak mohon kerja”

“Pernah rasa dibuli mental, bukan fizikal. Tetapi trauma tu masih ada..”

“Ingat orang bawahan macam aku je kena buli, bos pun kena juga”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.