Gara-Gara Sarang Diganggu Burung, Wanita & Keluarga Disengat Lebah [Video]
Selepas diserang oleh lebah berkenaan, Ismah kemudian segera membawa anak-anaknya ke klinik untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap kali tibanya cuti hari minggu atau cuti panjang pasti kebanyakan ibu bapa akan mengambil peluang untuk membawa anak-anak pergi melancong bagi meluangkan masa bersama mereka.
Ada yang memilih untuk melakukan aktiviti rekreasi seperti melancong ke kawasan alam semula jadi dan ada juga yang memilih ke hotel yang menyediakan pelbagai aktiviti yang menarik untuk kanak-kanak.
Keriangan bertukar ngeri selepas anak-anak diserang serangga
Namun baru-baru ini, seorang wanita yang dikenali sebagai Ismah Syahirah telah berkongsi di TikTok pengalaman ngeri yang menimpa anak-anaknya ketika bercuti di sebuah penginapan di Terengganu.
Menurutnya ketika sampai di sana kesemua anak-anaknya gembira kerana tidak sabar ingin mandi di kolam renang penginapan berkenaan.
Malah turut kedengaran suara anak-anaknya bersorak keriangan sebaik sampai di perkarangan penginapan itu.
Sangkakan semut rupanya diserang lebah
Walau bagaimanapun sewaktu sedang berswafoto (selfie), seorang anaknya telah disengat oleh serangga yang disangkakan semut. Tidak lama kemudian semakin banyak serangga yang datang menyerang.
“Rupanya lebah datang serang.. berlari semua orang (mereka sekeluarga) sambil menangis sakit minta tolong.
“Masa tu tengah dukung si adik, sebab banyak sangat yang datang serang.. sambil lari jerit minta tolong,” jelasnya.
Dia turut menyatakan sewaktu dia sibuk meminta pertolongan tanpa disedari anak bongsunya telah tertinggal dan Ismah bernasib baik kerana terdapat seorang pakcik yang segera datang dan menyelamatkan si kecil.
“Si kakak saya tinggal je tadi sebab nak selamatkan adik, kakak menangis sakit dan ada pakcik juga (lain) yang datang selamatkan dia.
“Maaf kakak mummy tinggalkan kakak tadi.”
Segera bawa ke klinik untuk dapatkan rawatan
Sebaik diserang Ismah kemudian segera membawa mereka ke klinik untuk mendapatkan rawatan dengan segera.
Doktor kemudian meletakkan ubat semburan untuk mengurangkan rasa sakit disengat lebah tersebut.
“Alhamdulillah nasib semua okay lepas doktor bagi ubat. Tapi masih trauma dengan bayi kecil kita yang besar ni pun menangis tadi, sebab sakit,” katanya lagi.
Sarang lebah diganggu oleh burung hingga terjatuh
Ketika ditanya bagaimana mereka boleh diserang oleh lebah berkenaan, Ismah menyatakan terdapat burung yang mengganggu sarang lebah berkenaan sehingga ia terjatuh dan menyerang mereka.
Dia bagaimanapun turut memuji pihak penginapan kerana sebaik sahaja mengetahui pelanggan diserang mereka dengan segera menghubungi pihak Bomba dan Penyelamat.
Di ruangan komen tidak kurang juga ramai yang bersimpati dengan nasib menimpa mereka dan berharap keluarga itu diberikan kesembuhan dengan segera.