Aunty Terpegun Ketika Dengar Bacaan Ayat Al-Quran, Siap Minta Anak Hormati Orang Solat [Video]
Menerusi video berkenaan kelihatan wanita itu terpesona tatkala mendengar bacaan surah tersebut selain turut berdiri tegak.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Tidak dinafikan siapa sahaja yang mendengar ayat suci al-Quran pasti akan terpesona dengannya.
Apatah lagi jika alunan bacaan itu begitu merdu selain si pembaca menyebut setiap ayat dengan penuh penghayatan dan tajwid yang betul.
Aunty berbangsa India teruja dengar surah dialunkan di surau
Perkara ini samalah seperti apa yang berlaku kepada seorang wanita berbangsa India ini yang dilihat terpesona tatkala mendengar bacaan ayat suci al-Quran yang dialunkan dari surau berdekatan rumahnya.
Menerusi video yang dikongsikan oleh Hezzaroslan di Tiktok menunjukkan ibu kepada rakannya itu sedang berdiri tegak sambil mendengar ayat suci yang berkumandang di surau tersebut.
Malah dia juga difahamkan tidak berganjak ketika mendengar alunan tersebut.
“Rakan saya hantar video menunjukkan ibunya teruja dengan surah yang dibacakan di surau berdekat rumahnya.
“Terpegun sangat dia sampai berdiri tegak, tak gerak dekat situ,” ujarnya.
Ingatkan anak perlu hormati agama lain
Bukan hanya itu ketika rakan Hezzaroslan mengusiknya bilakah dia mahu masak, si ibu dikhabarkan telah memarahi anaknya dengan mengatakan ‘kita perlu menghormati orang bersembahyang’.
“Bila kawan saya tanya bila nak masak? Tak memasal kena marah. Dia kata hormat orang sembahyang, kau tahu makan je tau,” katanya lagi.
Hezzaroslan dalam masa sama turut mengingatkan orang ramai untuk sentiasa menghormati budaya dan kepercayaan orang lain agar kita hidup dalam masyarakat yang harmoni.
Gelagat comel wanita itu undang perhatian
Video gelagat comel aunty itu telah menarik perhatian orang ramai. Bahkan ada juga orang bukan Islam yang mengakui suka mendengar takbir raya.
Tidak kurang juga ada yang memuji suara individu yang membaca itu sangat merdu.