Anda Baru Bekerja? Ini 5 Perkara Penting Mengenai Probation
Antara hak pekerja sepanjang tempoh probation adalah seperti caruman KWSP.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Memperolehi pekerjaan merupakan saat yang paling bermakna dan sering dinantikan buat semua individu.
Ini kerana pada masa kini, tidak semua orang bernasib baik untuk memperolehi pekerjaan terutamanya dalam masa yang singkat.
Malah, ada setengah individu yang mengambil masa hampir setahun semata-mata untuk berjaya mendapat pekerjaan yang dimohon.
Tidak kira sama ada anda baru bergraduasi (fresh grad) atau sudah lama bekerja, namun sebagai pekerja baharu di sebuah syarikat, pastinya anda akan melalui tempoh percubaan atau dikenali sebagai probation.
Secara ringkasnya, ia merupakan tempoh penilaian majikan terhadap pencapaian seseorang pekerja itu. Tempohnya pula berbeza, ada yang selama tiga bulan, enam bulan atau mungkin 12 bulan bergantung kepada syarikat anda bekerja.
Semasa menjalani tempoh ini, tidak semua pekerja yang tahu tentang hak mereka ketika tempoh probation.
Oleh itu, mari kami kongsikan lima hak anda sebagai pekerja walaupun sedang menjalani tempoh percubaan.
#1 Layak Dapat Cuti Sakit (MC) Berbayar
Merujuk kepada laman web Hello Doktor, Medical Certificate (MC) atau sijil cuti sakit merupakan dokumen sah yang dikeluarkan oleh pengamal perubatan.
Ia bertujuan untuk memperakui bahawa seseorang individu itu tidak mampu menjalankan tugasnya kerana sakit.
Buat pekerja baharu, anda sebenarnya layak mendapat cuti sakit yang berbayar sekurang-kurangnya 14 hari bagi tempoh pekerjaan kurang daripada 2 tahun seperti yang termaktub dalam Akta Kerja 1955 pindaan 2022 yang bermula pada 1 Januari 2023.
#2 Cuti Umum Yang Berbayar
Seperti yang terkandung di bawah Seksyen 60D(1)(a) & (B) Akta Pekerja 1955, pekerja dalam tempoh probation juga layak mendapat cuti umum yang berbayar.
Bahagian ini juga turut menyenaraikan 11 hari cuti umum yang berbayar dan lima daripadanya adalah:
- Hari Kemerdekaan
- Hari Keputeraan Yang Dipertuan Agong
- Hari Keputeraan Yang Dipertua Negeri
- Hari Buruh
- Hari Malaysia
Oleh itu, ketahui hak anda kerana tidak semua majikan yang membayar gaji pekerja terutama ketika cuti umum.
#3 Layak Dapat Cuti Rehat
Jangan tidak percaya, ada setengah majikan tidak memberikan kemudahan cuti rehat atau dalam bahasa mudahnya cuti hujung minggu kepada pekerja terutama kepada mereka yang berada dalam tempoh probation.
Hakikatnya, pekerja dalam tempoh ini adalah layak mendapat cuti rehat sekurang-kurangnya sehari dalam tempoh seminggu. Ia seperti yang terkandung dalam Bahagian 59, Akta Pekerja 1955 yang menyatakan tentang perkara ini.
Jika pekerja diarah oleh majikan untuk bekerja pada hari tersebut, maka bayaran tambahan perlu dibuat.
#4 Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Sebagai pekerja yang berada dalam tempoh probation, anda juga layak menerima caruman KWSP daripada majikan. Untuk info, caruman ini merupakan simpanan persaraan utama yang terdapat di Malaysia.
Pada ketika ini, peratus caruman majikan adalah sebanyak 13% dan akan disumbangkan kepada pekerja, manakala buat pekerja, anda boleh memilih untuk mencarum dengan kadar 9% atau 11% namun ia bergantung kepada penetapan syarikat.
Jadi pastikan syarikat anda mencarum KWSP semasa tempoh ini ya!
#5 Caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Oleh Majikan
Walaupun berada dalam tempoh percubaan, anda tetap dikira sedang menjalankan tugas di syarikat berkenaan.
Oleh itu, sama seperti KWSP, anda berhak mendapat caruman PERKESO (SOSCO) daripada majikan dan membuat caruman bagi pihak pekerja.
Caruman ini penting kerana ia akan memberi perlindungan kepada anda sebagai pekerja sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini dalam tempoh bertugas atau ketika dalam perjalanan pergi dan pulang ke tempat kerja.
Kesimpulannya, walaupun berada dalam tempoh percubaan, sebagai pekerja anda juga mempunyai hak untuk menikmati manfaat atau kemudahan terutamanya seperti yang tersenarai di bawah Akta Pekerja 1955.
Jadi, ketahui hak anda dan pastikan anda mendapat keistimewaan dan manfaat seperti yang digariskan di atas.
Baca Artikel Berkaitan: