fbpx
Now Reading
Tular Isu ‘Company Dari Neraka’, Ini Hak Anda Sebagai Pekerja

Tular Isu ‘Company Dari Neraka’, Ini Hak Anda Sebagai Pekerja

Dua individu telah berkongsi beberapa masalah yang dihadapi di tempat kerja mereka termasuk denda RM10 jika lambat menghantar laporan dan tidak menerima caruman KWSP.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Bagi mereka yang baru bekerja, diingatkan supaya cakna dengan undang-undang berkenaan pekerjaan, terutamanya seperti yang terdapat di dalam Akta Kerja 1955.

Baru-baru ini, tular satu hantaran oleh pengguna laman X, Wonka (@onlyyouperson), yang menceritakan tentang masalah dihadapinya di tempat kerja.

Dia mendakwa diwajibkan oleh majikan untuk membuat Ads Boosting melalui platform Facebook dengan bayaran RM700 setiap bulan. Apa yang mengejutkan, dia mendakwa kos tersebut adalah dengan menggunakan gajinya sendiri.

Menerusi bebenang sama, dia turut memaklumkan hanya menerima gaji sebanyak RM1,500. Namun begitu, gaji yang diterimanya pada bulan lepas hanyalah sebanyak RM600 kerana baru setengah bulan bekerja.

Malah dakwanya lagi, pekerja akan dikenakan denda sebanyak RM10 jika gagal menyerahkan laporan harian sebelum jam 7 petang setiap hari.

Dalam satu lagi perkongsian berbeza, seorang lagi pengguna X, Maryam (@mrymler) pula tampil memaklumkan telah menerima satu surat peguam dari majikannya.

Dia mendakwa telah diugut akan dikenakan tindakan undang-undang jika melaporkan masalah tidak mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke Pejabat Buruh.

Sehubungan dengan itu, dia telah memfailkan aduan di Pejabat Tenaga Kerja Bangi.

Isu ini mencetuskan perbualan hangat di media sosial hingga ada yang tertanya-tanya adakah majikan boleh mengarahkan pekerja menggunakan wang sendiri bagi kegunaan kerja. Ada juga yang tertanya-tanya adakah pekerja boleh dikenakan tindakan jika membuat aduan sekiranya majikan tidak mencarum KWSP.

Tolak Tawaran Bekerja Jika Tidak Setuju Dengan Arahan Kerja

Sehubungan itu, kami telah mendapatkan maklum balas dari seorang penasihat hubungan industri berhubung perkara ini. Dia yang juga merupakan bekas peguam berkata, jika aturan kerja telah dipersetujui oleh pekerja, maka ia wajib dilaksanakan.

Dalam kes Wonka diarahkan membuat Facebook Ads, difahamkan dia telah mempersetujui arahan tersebut sewaktu diterima bekerja. Oleh itu, menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan pelaksanaannya.

Tiada sebarang undang-undang khusus yang menghalang majikan untuk membuat arahan sedemikian, tetapi bakal pekerja boleh mempersoalkannya atau tidak menerima kerja yang ditawarkan jika tidak bersetuju.

Fail Aduan Kepada Mahkamah Buruh

Dalam masa yang sama, majikan tidak boleh memberi arahan yang bertentangan dengan undang-undang.

Namun begitu, pekerja yang merasakan sesuatu arahan tidak masuk akal boleh berbincang dengan pihak majikan terlebih dahulu.

Sekiranya majikan enggan berbuat demikian, pekerja boleh memfailkan aduan kepada Mahkamah Buruh.

Seksyen 30(5) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 menjelaskan bahawa keputusan mahkamah boleh dibuat atas dasar kesaksamaan dan hati nurani tanpa menghiraukan dari segi teknikal dan bentuk perundangan.

Syarikat Tidak Boleh Kenakan Denda Berbentuk Wang Ke Atas Pekerja

Dalam satu lagi isu, Wonka turut berhadapan dengan denda sebanyak RM10 sehari sekiranya gagal menghantar laporan pada waktu yang ditetapkan.

Sumber kami menyatakan bahawa majikan secara asasnya tidak boleh mengenakan denda dalam bentuk kewangan ke atas pekerja.

Seksyen 14(1) Akta Kerja 1955 telah menggariskan bentuk denda yang boleh dikenakan oleh majikan terhadap pekerja bagi salah laku iaitu:

  • pecat tanpa notis,
  • menurunkan jawatan pekerja, atau
  • lain-lain denda yang adil dan sesuai, dan jika pekerja digantung kerja tanpa gaji, ia tidak boleh melebihi tempoh waktu dua minggu.

Caruman KWSP Wajib Bagi Gaji Atas RM10 Dalam Sebulan

Berhubung dengan perkongsian oleh Maryam, kami telah merujuk kepada laman web KWSP untuk mendapat maklumat lanjut mengenai caruman oleh majikan bagi pekerja. Secara umumnya, majikan perlu melakukan caruman KWSP bagi semua pekerja termasuk:

  1. Pekerja Tetap
  2. Pekerja Kontrak
  3. Pekerja Sambilan
  4. Pekerja Sementara
  5. Pekerja dalam tempoh Percubaan
  6. Pengarah Syarikat yang menerima gaji atau upah
  7. Telah mengeluarkan simpanan di bawah Pengeluaran Hilang Upaya dan bekerja semula dalam mana-mana pekerjaan
  8. Telah mengeluarkan simpanan di bawah Pengeluaran Umur 55 tahun dan belum mencapai 75 tahun dan bekerja dalam mana-mana pekerjaan
  9. Telah diberi taraf berpencen dan bekerja dengan majikan selain Kerajaan Persekutuan, Negeri atau pihak Berkuasa Berkanun atau Tempatan
  10. Telah mengeluarkan simpanan di bawah Pengeluaran Pekerja berpencen dan bekerja semula selepas umur persaraan.

Sebenarnya, caruman KWSP wajib dilakukan bagi mana-mana pekerja yang menerima upah melebihi RM10 dalam tempoh satu bulan. Ini termasuklah pembayaran dalam bentuk gaji hari, mengikut jam atau ‘piece rated’ (mengikut unit dihasilkan).

Caruman KWSP termasuk bayaran yang diterima jika bekerja pada hari cuti umum atau cuti rehat. Akan tetapi, caruman KWSP tidak dikenakan ke atas bayaran kerja lebih masa atau OT.

Malah, majikan yang didapati tidak membayar caruman bukan sahaja boleh didakwa, malah boleh dikenakan penalti berbentuk denda bergantung kepada jenis kesalahan.

Menurut Seksyen 43(2) Akta KWSP 1991, majikan yang tidak membuat caruman KWSP boleh dikenakan penjara tidak lebih 3 tahun, denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan-kesalahan lain berkenaan KWSP adalah seperti di bawah.

Kegagalan membayar caruman KWSP yang tertunggak pula boleh menyebabkan tuntutan dibenarkan difail di mahkamah dan syarikat berisiko berdepan beberapa tindakan seperti:

  1. Tindakan kebankrapan.
  2. Penyitaan dan penjualan aset.
  3. Larangan Keluar Negara, Seksyen 39.
    Lembaga KWSP boleh memohon kepada Jabatan Imigresen untuk menghalang mana-mana pengarah syarikat/perkongsian firma/pemilik perniagaan dari keluar negara jika syarikat/firma berkenaan gagal membayar caruman seperti mana yang ditetapkan

Selain itu, majikan di sektor swasta juga wajib membayar caruman bulanan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.