fbpx
Now Reading
Bapa Sentuh Kaabah Punca Cucu Tak Sah Taraf Kerana Pernikahan Anak Terbatal? Ini Penjelasan Pejabat Mufti WP

Bapa Sentuh Kaabah Punca Cucu Tak Sah Taraf Kerana Pernikahan Anak Terbatal? Ini Penjelasan Pejabat Mufti WP

Menurut Pejabat Mufti WP, amalan-amalan haji yang diragui kesahihannya tidak memberi sebarang kesan dari segi hukum jika diyakini sah ketika melaksanakannya dahulu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Dalam ibadah umrah atau haji, setiap jemaah perlulah mematuhi larangan-larangan ihram, setelah berniat di Miqat sebagai syarat wajib ibadah.

Jika jemaah melakukan larangan-larangan dalam Ihram ada denda atau dam yang akan dikenakan mengikut jenis larangan yang dilanggar.

Bapa menyesal setelah menyedari kesilapan selepas lapan tahun tunai umrah

Seperti baru-baru ini, seorang wanita berkongsi kisah mengenai seorang lelaki yang menyesal kerana hanya menyedari kesilapannya sewaktu menunaikan umrah hanya selepas lapan tahun.

“Pakcik ni sebelum pergi haji pada 2018, dia ada pergi umrah tapi dia tak pergi kursus umrah. Tak pasti sama ada dia tiba-tiba nak pergi umrah tapi dia tak follow kursus.

“Apabila kita niat umrah, ada benda yang dilarang buat sewaktu umrah. Salah satunya waktu tawaf, dia pegang dinding Kabah. Tiga kali dia pegang, sepatutnya dia kena ulang balik tawaf dia tapi dia tak tahu sebab dia tak pergi kursus.

“Patutnya dia kena bayar dam (denda) tapi disebabkan tidak tahu, dia tak ulang tawaf dan buat rukun yang seterusnya iaitu Saie,” katanya.

Sangka ibadah umrah dilakukan dalam keadaan sempurna

Menyangka ibadah umrahnya sempurna, jemaah berkenaan pulang ke Malaysia dan menjalani kehidupan seperti biasa termasuklah menikahkan tiga orang anak perempuannya yang kini sudah mempunyai anak.

Namun, segala permasalahan itu mula diketahui lelaki terbabit selepas dia mendapat peluang untuk menunaikan ibadah haji pula di Tanah Suci pada 2018.

“Apabila dia pergi kursus haji, baru dia tahu yang tak boleh sentuh dinding Kaabah sedangkan dia dah sentuh. Maksudnya waktu dia balik Malaysia dulu, dia tak selesaikan lagi umrahnya dulu.

“Selama tempoh itu (belum selesai umrah), dia tak boleh mencabut bulu di badan kerana dia masih berada dalam larangan ketika dalam umrah.

“Yang paling dia menyesal sekali adalah, dia sudah menikahkan tiga orang anak perempuannya. Apabila pergi ke jabatan agama, (diberitahu) pernikahan anak-anaknya tidak sah dan cucunya tak sah taraf.”

Wanita itu turut memberi pesanan agar orang ramai yang ingin menjalani ibadah itu untuk pergi menjalani kursus terlebih dahulu dan tidak mengambil ringan dengan pantang larang yang telah ditetapkan.

Video tular tersebut mendapat pelbagai reaksi ramai, di mana rata-rata pengguna media sosial berasa buntu dan tertanya-tanya dengan kenyataan wanita itu bahawa perkahwinan ketiga-tiga anak lelaki tersebut menjadi terbatal sekaligus menyebabkan cucunya dikira sebagai anak tidak sah taraf.

@rambutjelita

Larangan Ketika Melakukan Umrah . 1. Memakai pakaian yang dijahit (disarung), kecuali wanita. 2. Menutup kepala bagi lelaki dan menutup muka bagi wanita. Namun, meletakkan tangan di atas kepala tidaklah dianggap sebagai menutup kepala dan dibenarkan. 3. Memotong atau mencabut kuku; kecuali jika kuku itu pecah dengan sendirinya dan pecah itu mengganggu untuk terlaksananya amalan ihram, maka boleh menghilangkan kuku yang pecah itu. 4. Memotong atau mencabut atau menyisir rambut. 5. Memakai wangi-wangian. 6. Berburu binatang yang halal dimakan dagingnya. 7. Memotong pokok-pokok yang tumbuh di tanah haram. 8. Nikah atau menikahkan. 9. Bersetubuh. 10. Bersentuhan kulit (anggota badan dengan maksud menyalurkan nafsu syahwat).

♬ original sound – Rambut Jelita – Rambut Jelita

Susulan itu, BuzzKini telah menghubungi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur untuk meminta penjelasan mengenai isu tersebut.

Mufti WP ambil pandangan kedua Mazhab Syafie sebagai Resolusi MHPK 2016

Menurut Pejabat Mufti WP, terdapat dua pandangan Mazhab Syafie berhubung isu tersebut namun untuk pandangan yang kedua sekiranya jemaah itu menyentuh Kaabah dalam keadaan bukan keseluruhan badan masuk ke dalam Kaabah, maka tawaf yang dilakukan adalah sah.

“Dalam Mazhab Syafie ada dua pandangan, pandangan pertama jika sentuh Kaabah dikira batal dan tawaf tidak sah, dan ada pandangan kedua yang menyatakan sekiranya bukan sepenuhnya badan masuk ke dalam Kaabah, maka tawaf itu masih sah,” kata Pejabat Mufti WP.

Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan (MHPK) Kali ke 33 yang diadakan pada 25-28 November 2016 telah memutuskan bahawa:  

Amalan-amalan haji dan umrah lampau yang diyakini tidak sah mengikut Mazhab Syafie maka boleh bertaqlid kepada mazhab lain untuk mengesahkannya jika ada. Oleh hal yang demikian dalam masalah orang yang menyentuh Kaabah ketika melakukan tawaf boleh mengambil pandangan kedua mazhab Syafi’i yang mengatakan perbuatan tersebut tidak membatalkan tawafnya.

Amalan haji yang diragui kesahihan tidak memberi kesan dari segi hukum jika diyakini sah

Tambahnya lagi, amalan-amalan haji yang diragui kesahihannya juga tidak memberi sebarang kesan dari segi hukum jika diyakini sah ketika melaksanakannya dahulu.

Tegasnya, sekiranya benar umrah yang dilakukan tidak sah sekalipun, status anak masih dikira sah dan boleh berbin atau bintikan nama bapanya.

“Dakwaan kata kononnya jika umrah ini tidak sah dan anak atau cucu menjadi anak luar nikah tak tepat, kerana ia dikira wathi syubhah (persetubuhan yang syubhah) kerana persetubuhan yang berlaku bukan dengan sengaja tetapi atas kekeliruan, kesalahan dan sebagainya,” katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan, Pejabat Mufti WP akan mengeluarkan satu penjelasan penuh berhubung isu tular tersebut.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.